Kerani firma guaman didakwa pecah amanah
KUALA LUMPUR - Seorang kerani firma guaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan pecah amanah wang berjumlah RM31,460 milik firma guaman itu, dua tahun lepas.
Nur Atikah Razali, 32, didakwa melakukan pecah amanah wang yang diamanahkan kepadanya di firma guaman tersebut di Brickfields di sini, antara 14 Jan dan 21 April 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 14 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan mohon agar tertuduh diikat jamin RM15,000.
Nur Atikah, yang tidak diwakili peguam memohon jaminan tersebut dikurangkan.
Hakim Datin Sabariah Othman membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!