Lantikan ahli korporat jadikan kementerian bebas tekanan politik - PM
PUTRAJAYA - Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II dianggap tepat dalam menerajui Kementerian Kewangan (MoF) ke landasan yang tepat.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, lantikan itu juga sekali gus menjadikan MoF sebagai sebuah badan yang bebas daripada tekanan politik.
“Pandangan peribadi saya, untuk Kementerian Kewangan selain diketuai oleh saya, kita mesti mempunyai pasukan profesional yang kuat untuk memastikan kita berada di landasan yang betul.
“MoF perlu memberi tumpuan kepada ekonomi dan tidak dicerminkan oleh tekanan politik,” ujarnya pada sidang media pengumuman rombakan Kabinet di Pejabat Perdana Menteri di sini pada Selasa.
Selain itu, Perdana Menteri menegaskan, lantikan Amir Hamzah sebagai Menteri Kewangan II dibuat berdasarkan prestasinya yang memberangsangkan sebagai CEO KWSP.
“Justeru, beliau telah menunjukkan kecekapan dan kebolehan yang cukup serta telah menguruskan KWSP dengan cara yang sangat mengagumkan dan memuaskan,” kata Anwar. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!