KFA terus anjur liga tempatan
PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) akan meneruskan penganjuran liga tempatan bagi merancakkan kembali industri sukan bola sepak di Kedah.
Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya memastikan liga KFA terbabit akan dilaksanakan sejak ia mula dihidupkan kembali melalui ketetapan Kongres KFA kali ke-46 lepas.
"Penganjuran liga tempatan ini sudah pasti akan menghidupkan seluruh komponen bola sepak, meliputi pembangunan bakat, pendidikan kejurulatihan dan staf sokongan serta peningkatan prestasi pengadil.
"KFA juga akan memberi nafas terhadap program Kenari Kid dengan melakukan beberapa penambahbaikan bagi meneruskan kelestarian pembangunan di peringkat akar umbi," katanya.
Muhammad Sanusi berkata sedemikian ketika berucap sempena Kongres KFA kali ke-48 di Wisma Darul Aman, di sini pada Selasa.
Beliau berpandangan, sudah tiba masanya program seperti ini diterjemahkan mengikut silibus pendidikan seragam antara semua pusat.
Menurutnya, program terbabit perlu diolah mengikut perkembangan arus semasa dalam bersaing dengan program-program akar umbi dikelola badan swasta yang sudah maju ke depan.
Muhammad Sanusi turut memberitahu, KFA terus memberi komitmen untuk membantu KDA FC bagi memastikan pasukan ini berupaya bersaing dengan arus deras bola sepak moden.
Sehubungan itu, katanya lagi, KFA masih dan terus memberi bantuan bagi tahun 2023 untuk kelangsungan perbelanjaan pasukan utama negeri itu.
Bagaimanapun, beliau berharap KDA FC mendapat kestabilan dan berupaya beroperasi tanpa bantuan kewangan daripada KFA bagi tahun-tahun mendatang.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi menyatakan beberapa elemen penting bakal diberi keutamaan dan tumpuan segera.
"Antaranya, memperkasakan ahli gabungan KFA, program akar umbi, penjanaan sumber dan kestabilan kewangan demi untuk melonjakkan sukan bola sepak negeri serta jaringan pintar dan pembangunan rakan strategik,"katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak khususnya ahli eksekutif dan ahli gabungan untuk bersama-sama memikul tanggungjawab dan peranan masing-masing.
Muhammad Sanusi menyeru ahli eksekutif dan badan gabungan untuk lebih proaktif dalam meningkatkan mutu kerja bagi memastikan setiap persatuan tidak hanya tinggal nama dan sekadar mencukupi kelayakan daftar tubuh di pesuruhjaya sukan (PJS).
Bagi beliau lagi, penyertaan menyeluruh daripada semua pihak dalam bola sepak negeri haruslah diperluaskan dan usaha untuk menjadikan KFA lebih proaktif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!