Hazriq impi sambar tiket Kejohanan Olahraga Remaja Dunia
PELARI muda negara, Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau kini dianggap bintang dalam pembikinan selepas kejayaannya pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara di Bangkok, Thailand baru-baru ini.
Pada kejohanan tersebut, pelajar Sekolah Sukan Negeri (SSN) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn, Johor itu mencipta sensasi apabila memenangi pingat emas acara 110 meter (m) lari berpagar lelaki.
Kejayaannya itu menyaksikan kontinjen Malaysia yang dibarisi 44 atlet mengakhiri kejohanan remaja berprestij itu dengan memungut keseluruhan 21 pingat iaitu empat emas, lima perak dan 12 gangsa.
Berbekalkan kejayaan di Bangkok, Hazriq kini berazam untuk memastikan dia berjaya menaiki podium dalam setiap kejohanan yang disertainya.
Malah, atlet berusia 17 tahun kelahiran Johor itu menanam misi untuk memburu slot Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Peru tahun depan.
“Mengikut jadual, saya akan bertanding pada Terbuka SAECA-BJSS Innotex 2023 di (Stadium Mini) Bukit Jalil pada 19 hingga 20 Disember ini.
“Pada kejohanan itu nanti, saya letak sasaran ke final dengan catatan masa 13.9 saat (s). Saya percaya pada jurulatih dan program yang disediakan untuk saya.
“Saya akan cuba mencapai sasaran itu dan melayakkan diri ke Kejohanan (Olahraga Remaja) Dunia di Peru,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.
Pada Khamis lalu, Hazriq menyambar emas selepas merekodkan masa 13.44s bagi menewaskan atlet Indonesia, Bria Bagas Swara (13.44s) dan rakan senegaranya, Aiman Suffian Sahrizal (14.09s) yang masing-masing meraih perak dan gangsa.
Lebih membanggakan, Hazriq berjaya memperbaharui rekod kejohanan,13.71s yang dicipta pelari Thailand, Kittipong Kongdee pada edisi 2011 di Jakarta, Indonesia.
Hazriq turut membantu kuartet 4x100m lelaki negara dibarisi Dylan Leo Saran Stephen, Danish Irfan Tamrin dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee memenangi emas.
Selain acara 110m lari berpagar lelaki dan 4x100 lelaki, Nur Izzati Eliana Suhaidi, 17, turut dinobatkan sebagai ratu pecut selepas memenangi emas 100m dengan catatan 12.39s.
Satu lagi emas kontinjen Malaysia disumbangkan menerusi kejayaan atlet lompat kijang lelaki, Mark Paladius yang mencatatkan jarak 14.78m.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!