'Atok rindu awak, Zayn'
PETALING JAYA - "Sayang Atok ni, apa istimewa mu Zayn, semua orang suka sama awak".
Demikian perkongsian hantaran Datuk kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin yang meluahkan rasa rindunya terhadap cucu sulungnya itu.
Menerusi hantaran berkenaan, Zahari Mohd Reba dilihat berkongsi kenangan indah bersama Zayn Rayyan yang sentiasa menghiburkan hatinya.
Zahari berkata, Zayn Rayyan akan ke rumahnya setiap kali hujung minggu.
"Aktiviti terakhir Zayn sebelum meninggalkan kami sekeluarga, setiap hujung minggu akan ke rumah kami, masuk pintu rumah akan cari Tok Ayahnya dulu dan cium Tok Ayah.
"Tok Ayah tak boleh tengok raut wajah mu, setiap kali merenung gambar wajah mu, air mata berderai jatuh ke lantai," tulisnya dalam hantaran berkenaan yang dimuat naik pada Selasa.
Zahari turut mengungkapkan rasa redanya terhadap apa yang berlaku kepada Zayn Rayyan.
"Tok Ayah reda apa yang telah berlaku, ni adalah qada dan qadar Tuhan, ALLAH SWT lebih menyayangi mu Zayn.
"Tok Ayah, Wan Mi, Pok Ngoh, Pok Teh dan Pok Su sayang sama kamu, teramat rindu," kongsinya.
Sementara itu usaha masih dijalankan pihak berkuasa dalam siasatan kes pembunuhan Zyan Rayyan di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membantu pihak polis menyedut air di kawasan anak sungai yang menjadi lokasi penemuan mayat mangsa.
Sinar Harian difahamkan kerja-kerja berkenaan dijalankan sebagai usaha untuk mencari bahan bukti berkaitan pembunuhan mangsa.
Sebelum itu, anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat tiba kira-kira jam 11.45 pagi Selasa.
Turut kelihatan beberapa kakitangan JPS yang turut hadir sebelum kerja mengepam air dijalankan.
Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang pada tengah hari Selasa lepas dan ditemukan meninggal dunia dalam aliran anak sungai pada keesokannya, kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Apartmen Idaman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!