Jodoo platform pembangun aplikasi serba boleh
KUALA LUMPUR - Syarikat Jodoo International Pte Ltd (Jodoo) dari Singapura menerusi kerjasama dengan VA Digitech Sdn Bhd memperkenalkan platform pembangunan aplikasi serba boleh tanpa memerlukan pengkodan bagi menerajui transformasi digital di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jodoo, Eric Xu berkata, platform berkenaan menonjolkan kelainan daripada pesaing dalam industri tersebut melalui keunikan nilai yang ditawarkan kepada organisasi serta sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menurutnya, syarikat tersebut turut menyediakan satu sistem antarabangsa namun menggunakan ciri tempatan yang membolehkan organisasi mengembangkan skala perniagaan di rantau ASEAN.
"Tujuan kerjasama ini untuk meningkatkan kesedaran jenama Jodoo, meluaskan jangkauan pemasaran, merekrut rakan kongsi strategik, berkongsi trend terkini dalam pendigitalan sertamemudahkan perkongsian ilmu dan pengalaman.
"Platform ini dapat memperkasakan perniagaan untuk mengubah idea yang inovatif menjadi aplikasi pantas selain memanfaatkan alatan tanpa kod dan mengintegrasikan sistem bagi melancarkan proses membuat keputusan sebanyak 80 peratus.
"Ia turut memenuhi keperluan pengurus, profesional perniagaan serta sebahagian pembangun teknologi maklumat (IT). Jodoo memberi kuasa untuk mencipta sistem pengurusan tersuai berdasarkan keperluan perniagaan tertentu termasuk pengurusan jualan, produk, prestasi dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran Transforming Through Agile Digitalisation -The Jodoo Way di M Resort and Hotel baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Dr Mohamad Norjayadi Tamam dan Ketua Pegawai Eksekutif VA Partners Group, Wel Kam.
Tambah Eric, beberapa siri keterlibatan bakal dilaksanakan dalam tempoh 2023 hingga 2024 termasuk seminar pendigitalan di Pulau Pinang dan Johor Bahru serta ke luar negara.
Katanya, inisiatif berkenaan dirancang untuk mempercepatkan jangkauan inovasi dan transformasi digital dalam kalangan pengusaha perniagaan.
"Rangka Tindakan (blueprint) Ekonomi Digital Malaysia dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 20230) menggariskan komitmen kerajaan untuk menjadi sebuah negara perindustrian berteknologi tinggi.
"VA Digitech yang dikuasakan Jodoo berpegang pada misi untuk memudahkan pembangunan organisasi dengan mengoptimumkan proses dan pendigitalan sejajar dengan misi kedua NIMP 2030," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!