Selepas 19 hari, akhirnya dah boleh pulang

Mangsa banjir terakhir pulang ke rumah selepas keadaan pulih.
Mangsa banjir terakhir pulang ke rumah selepas keadaan pulih.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Selepas 19 hari berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh, kumpulan terakhir mangsa banjir di Kelantan terdiri daripada 27 sekeluarga akhirnya dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada Selasa.

Mereka termasuk seorang wanita warga emas berusia 77 tahun bersama anak, menantu serta cucu kembar berusia 40 hari.

Mangsa banjir, Nurul Atikah Abdul Rashid, 23, berkata, mereka dapat pulang selepas paras air lebih empat meter yang menenggelamkan tujuh rumah keluarga tersebut di Kampung Bendang Perol surut sepenuhnya.

Nurul Atikah (kiri) Mek Yam (kanan) yang siap mengemas untuk pulang ke rumah.
Nurul Atikah (kiri) Mek Yam (kanan) yang siap mengemas untuk pulang ke rumah.

“Rumah kami banjir sejak 23 November lalu, cuaca panas selama empat hari bermula Jumaat lalu membantu memulihkan keadaan serta membolehkan kami pulang ke rumah.

“Kami selesai membersihkan kediaman kelmarin manakala hari ini akan mengangkat kesemua barang-barang peribadi di PPS termasuk basikal anak-anak untuk dibawa pulang,” katanya ketika ditemui di PPS SK Gual To’Deh di sini, pada Selasa.

Menurut Nurul Atikah, tempoh 19 hari tersebut lebih awal jika dibandingkan dengan lebih sebulan mereka pernah berada di PPS sama ketika kampung itu ditenggelami banjir pada Disember tahun lalu.

“Kami mengalami keadaan banjir teruk ini sejak empat tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Air sangat kotor, berwarna hitam dan berbau busuk selain menyukarkan kerja-kerja membersihkan rumah kerana beserta dengan lumpur,” ujarnya.

Sementara itu, neneknya, Mek Yam Hamat berkata, mereka sekeluarga bersama-sama mengharungi air pada paras 0.6 meter untuk keluar menyelamatkan diri.

Keadaan rumah penduduk selepas banjir surut.
Keadaan rumah penduduk selepas banjir surut.

Katanya, anaknya yang sedang berpantang bayi kembar juga terpaksa berjalan di dalam air.

“Saya berlindung di PPS hampir empat kali dalam setahun dan setiap tempoh itu mengambil masa yang terlalu lama hingga berasa cemuh sebelum dapat pulang.

“Hari ini, terlalu seronok dapat balik tetapi masih dalam keadaan berjaga-jaga kerana hujan selama dua hari sahaja sudah cukup membolehkan kami kembali semula ke PPS ini,” katanya.

Ujar Mek Yam, bencana banjir paling teruk pernah dilalui mereka pada Disember tahun lalu apabila paras air naik mencecah lebih tujuh meter menenggelamkan rumah dan memusnahkan harta benda menyebabkan kerugian lebih RM50,000.

Sebelum itu, banjir gelombang pertama tersebut merekodkan lebih 6,000 mangsa melibatkan daerah di Pasir Mas, Rantau Panjang, Bachok, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!