Armizan zahir rasa bangga saksi legasi kecemerlangan kepimpinan Salahuddin
KUALA LUMPUR - Datuk Armizan Mohd Ali yang dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup hari ini menzahirkan rasa bangga atas komitmen dan legasi kecemerlangan kepimpinan yang ditinggalkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Armizan yang sebelum ini merupakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) serta memangku jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sejak Julai lepas, menzahirkan perkara itu ketika memulakan sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Negara.
"Saya mohon untuk mengambil kesempatan bagi pihak seisi keluarga KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) merakamkan setinggi penghargaan atas jasa dan sumbangan mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Allahyarham Datuk Seri Salahudin Ayub.
"Sepanjang tempoh memangku jawatan ini, sejujurnya saya adalah saksi kepada komitmen dan kerja keras serta legasi kecemerlangan kepimpinan beliau di KPDN,” katanya.
Armizan ketika menggulung perbahasan berkata agenda dan fokus kerajaan ketika ini termasuk Belanjawan 2024 bertemakan 'Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat' yang perlu dilaksanakan mengambil kira tuntutan dan realiti semasa.
"Dewan ini perlu menerima hakikat dan realiti bahawa ekonomi dunia khususnya isu kos sara hidup merupakan latar penting yang tidak boleh kita pinggirkan atau ketepikan.
"Berdasarkan kajian dan perspektif asas mengenai isu kos sara hidup yang ada pada mutakhir ini boleh menjadi panduan dan rujukan iaitu Global Risk Report 2023 mengenai kajian risiko dilaksanakan World Economic Forum yang telah meletakkan kos sara hidup sebagai risiko utama untuk tempoh satu hingga dua tahun akan datang, mengatasi risiko lain termasuk risiko bencana,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan berkata, Program Jualan Rahmah yang dilaksanakan sejak April lepas sentiasa mendapat sambutan menggalakkan dengan penglibatan daripada pasar raya besar, pasar raya, peruncit, pembekal dan pemborong yang merupakan pemain industri sedia ada yang sentiasa komited melaksanakan program berkenaan dengan jayanya.
"Sejak pelancaran Program Jualan Rahmah, KPDN telah sasarkan pelaksanan di 222 kawasan Parlimen dan 640 kawasan Dewan Undangan Negeri seluruh negara. Setakat 11 Dis lepas, program ini telah merekodkan kehadiran lebih 5.6 juta pengunjung di 4,234 lokasi.
"Justeru, sekiranya terdapat usahawan atau syarikat yang berminat untuk memasarkan produk mereka dalam program ini, mereka boleh berhubung dengan pejabat KPDN negeri dengan syarat asas barang yang dijual adalah barang keperluan harian yang dijual pada kadar 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran,” katanya.
Mengenai jaminan tidak berlaku kenaikan harga barang pada tahun hadapan, Armizan berkata, tidak wajar untuk kerajaan berjanji pada perkara yang tidak keseluruhannya dalam kawalan kerajaan apatah lagi apabila sistem ekonomi Malaysia mengadaptasi sistem ekonomi pasaran bebas.
"Selain itu, instrumen utama kerajaan pada masa ini adalah pemberian subsidi sama ada dalam bentuk pukal atau bantuan tunai. Antara strategi dan mekanisme yang telah dan sedang dilaksanakan ialah pemberian subsidi pukal bahan api, petrol diesel dan gas petroleum cecair, minyak masak sawit kemasan peket, rebat bil elektrik dan iniatif Payung Rahmah,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!