Tak sabar bekerjasama dengan TPM - Akmal Nasrullah

Akmal Nasrullah (tengah) melawat Rumah Pam Kampung Md Amin, pada Selasa.
Akmal Nasrullah (tengah) melawat Rumah Pam Kampung Md Amin, pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengakui teruja dapat bekerjasama dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof di Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam.

Menerusi rombakan Kabinet itu, Akmal Nasrullah yang juga Pengarah Strategi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini dilantik Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan kini memegang portfolio Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Guna Daya Awam.

Akmal Nasrullah ketika ditemui media selepas melawat Rumah Pam Kampung Md Amin, di sini pada Selasa.
Akmal Nasrullah ketika ditemui media selepas melawat Rumah Pam Kampung Md Amin, di sini pada Selasa.

“Saya sebenarnya sangat teruja untuk berkhidmat bersama dengan Timbalan Perdana Menteri di kementerian yang baharu.

“Sudah pasti beliau (Fadillah) juga mempunyai tanggungjawab yang besar, saya pasti akan ada banyak fokus, perkara dan perancangan menerusi kementerian baharu ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pertukaran portfolio beliau.

Beliau berkata demikian selepas melawat Rumah Pam Kampung Md Amin, di sini pada Selasa.

Ditanya mengenai Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata, rombakan berkenaan dapat meningkatkan prestasi Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah turut menzahirkan penghargaan kepada kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming atas tunjuk ajar dan kerjasama diberikan selama menjawat jawatan sebagai timbalan menteri di kementerian tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau pada masa sama turut berharap agar Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan baharu, Datuk Aiman Athirah Sabu dapat meneruskan perancangan dan agenda yang dilaksanakan kementerian berkenaan.

Katanya, projek rumah sakit dan terbengkalai antara projek yang diberikan perhatian bagi membantu pembeli rumah yang teraniaya mendapatkan kediaman mereka.

Pada 1 Disember lalu, Akmal Nasrullah berkata, sebanyak 50 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai dengan 4,986 unit perumahan berjaya dipulihkan pada Oktober lalu iaitu tertinggi bagi tempoh 10 bulan.

Jelasnya, sebelum ini sejumlah 45 projek direkodkan pada September, 44 projek (Julai) dan 34 projek (Ogos) di bawah Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) yang diwujudkan Januari lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!