32 tahun tunggu rumah impian
BACHOK - Pasangan suami isteri tidak dapat menahan sebak apabila impian mereka untuk memiliki rumah sendiri menjadi kenyataan selepas menunggu selama 32 tahun.
Hasrat itu terpaksa ditangguhkan selepas pendapatan Fauzi Jusoh, 58, sebagai buruh kasar hanya cukup untuk meneruskan kelangsungan hidup selain membesarkan tujuh anak.
Impian tersebut direalisasikan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Program Jiwa Murni (PJM) yang membina kediaman untuk Fauzi dan keluarga.
Fauzi memberitahu, sebelum ini dia serta isteri, Siti Fatimah Mat, 54, hanya mampu menumpang di rumah peninggalan keluarga.
"Bila melihat rumah sendiri yang cantik dan lengkap tiga buah bilik, perasaan gembira itu sukar untuk digambarkan.
"Syukur Alhamdulillah, terima kasih kepada semua, kalau ikutkan kudrat yang ada ini, entah bila kami dapat merasa tinggal di rumah sendiri," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa Majlis Penyerahan Rumah Bina Baru PJM Kementerian Pertahanan di Kampung Kubang Telaga, Gunong di sini.
Hadir menyampaikan penyerahan tersebut ialah, Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Azhan Md Othman.
Dalam perkembangan sama, Azhan berkata, rumah bernilai RM75,300 itu berjaya disiapkan dalam masa hanya 50 hari sahaja.
Menurut beliau, untuk tahun ini, sebanyak 20 rumah bina baru sedang dan sudah siap dibina di Terengganu manakala sebuah lagi di Kelantan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!