Kematian akauntan: 7 individu dirakam keterangan bantu siasatan
KUALA LUMPUR - Tujuh individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang akauntan sebuah syarikat swasta ditemukan mati disyaki dibunuh di tepi Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru, di sini pada Isnin.akuanta
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, setakat ini, pihaknya telah merakam keterangan individu terbabit yang terdiri daripada keluarga dan rakan mangsa.
"Kita telah merakam keterangan tujuh individu. Setakat ini belum ada tangkapan dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Kita juga sedang menunggu laporan bedah siasat mangsa yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras, di sini," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Pada Isnin, media melaporkan mayat lelaki berusia 28 tahun itu dijumpai dalam keadaan tertiarap dan tidak berpakaian oleh orang awam pada kira-kira 6 pagi sebelum melaporkannya kepada polis.
Semasa ditemukan tiada sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa, namun identitinya telah dikenal pasti oleh keluarga lelaki itu.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!