'12 bulan berehat, kini saya sedia bangkit semula' - Dr Dzulkefly

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilantik sebagai Menteri Kesihatan yang baharu dalam rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilantik sebagai Menteri Kesihatan yang baharu dalam rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersedia untuk berkhidmat semula sebagai Menteri Kesihatan.

Menurutnya, tempoh berehat selama 12 bulan sudah mencukupi untuk beliau kembali bertugas semula bersama barisan Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selama 12 bulan saya berehat dengan baik dan kini sudah bersedia untuk bangkit semula.

"Terima kasih untuk peluang kali ini," katanya dalam hantaran di X pada Selasa.

Sebelum ini, Dr Dzulkefly kembali menerajui kementerian tersebut dalam rombakan Kabinet diumumkan oleh Anwar pada Selasa.

Pengarah Strategi Parti Parti Amanah Negara (Amanah) itu menggantikan Dr Zaliha Mustafa yang bertukar portfolio sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Anwar mengumumkan barisan Kabinet baharu yang menyaksikan bilangan menteri meningkat daripada 28 kepada 31 orang manakala timbalan menteri bertambah dua menjadikan seramai 29 orang.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Azizan Abdul Aziz turut mengucapkan tahniah kepada Dr Dzulkefly yang kembali ke portfolio lama sebagai Menteri Kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Dr Azizan Abdul Aziz
Dr Azizan Abdul Aziz

Menurutnya, Dr Dzulkefly merupakan pemimpin yang mempunyai rekod dan pengalaman yang baik serta mempunyai kemampuan dalam menangani isu selain cabaran menerajui sistem kesihatan negara.

“Kami percaya beliau mempunyai kepimpinan yang baik dalam menangani isu dan cabaran yang kompleks dalam sistem penjagaan kesihatan.

“Beliau pemimpin yang sanggup mendengar pandangan daripada pakar untuk mengadakan penglibatan tetap bersama pihak berkepentingan untuk membuat sebarang dasar.

“Walaupun beliau sebelum ini membuat keputusan yang tidak popular seperti larangan merokok di kedai makan, namun ia merupakan usaha melindungi kesihatan awam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, pihak MMA yakin dengan kepimpinan beliau menerajui semula kementerian tersebut seperti sebelum ini.

“Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau kerana kami tidak sabar-sabar menantikan peluang untuk terlibat dan bekerja rapat dengannya sekali lagi,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!