Kenaikan harga ikan, sotong tidak ketara
SUNGAI PETANI - Harga bahan mentah khususnya ikan temenung dan sotong didakwa berlaku peningkatan mendadak di beberapa tempat di seluruh negara.
Bagaimanapun, tinjauan harga ikan temenung dan sotong di sebuah pasar pagi di Sungai Lalang di sini pada Selasa menunjukkan, tidak berlaku peningkatan yang begitu ketara berbanding minggu lalu.
Pengunjung pasar, Zuraida Ismail, 43, mendakwa, secara kebiasaan ikan temenung dijual pada harga RM13 hingga RM15 sekilogram mengikut saiz dan gred.
"Minggu lepas pun lebih kurang harga macam ini juga, tiada peningkatan mendadak, sekarang mungkin turun sikit harga dalam seringgit dua menjadi RM13 sekilogram," dakwanya.
Dia yang menjalankan perniagaan nasi lemak bagaimanapun memahami sekiranya berlaku penurunan atau kenaikan harga bergantung kepada keadaan cuaca dan ombak laut.
Suri rumah, Haslina Hamzah, 45, mengakui tidak menyedari berlaku peningkatan harga dalam tempoh seminggu dua kebelakangan ini.
"Sama saja harga dengan minggu lepas, cuma kita sebagai pembeli perlu bijak memilih, ada tempat jual murah, ada tempat agak mahal, ikan sama saja," dakwanya.
Nor Hamizah Abdullah, 49, pula berkata, harga ikan temenung dijual RM18 sekilogram bergantung kepada saiz dan gred di sekitar daerah Kuala Muda dan Yan.
Dia yang juga peniaga makanan mendakwa, harga sotong pula dijual sekitar RM35 sekilogram.
"Harga itu lebih kurang sama macam minggu lepas, kalau ada pun naik turun RM1 atau RM2 sekilogram sahaja, itu biasa," dakwanya.
Peniaga ikan, Mohd Asri Halit, 40, berkata, harga ikan temenung bersaiz sederhana dijual sekitar RM10 dan RM6 sekilogram mengikut gred berbanding harga sotong sekitar RM25 sekilogram mengikut saiz.
"Harga ikan dan sotong tidak menentu, bila cuaca kurang baik, hasil tangkapan kurang, harga akan tinggi.
"Sama juga situasinya apabila cuaca baik, ramai nelayan boleh turun laut, hasil tangkapan pula banyak, sudah pasti harga menurun sedikit," katanya.
Jelasnya, dalam tempoh seminggu ini tiada laporan mengenai kejadian ribut mahupun cuaca buruk melanda perairan Kuala Muda mahupun Tanjung Dawai di mana bekalan diperolehi secara kebiasaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!