KPM, STDC kerjasama bangun tenaga mahir profesional
SHAH ALAM - Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengkhususkan kepada pembangunan tenaga mahir profesional dalam bidang teknologi tinggi.
Pengerusi STDC, Nazri Noh berkata, jalinan kerjasama dua hala ini dimeterai diantara STDC dengan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) di bawah juridiksi KPM.
Menurutnya, MoU diharapkan akan menjadi titik tolak kepada program pembangunan dan penawaran modul-modul Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) tahap tinggi dalam bidang teknologi terkini.
"Kerjasama ini akan mensasarkan kepada bidang automasi dan pendigitalan industri. Usahasama ini antaranya akan melibatkan penerapan nilai persijilan profesional yang ditawarkan STDC kepada kurikulum semasa kolej-kolej vokasional di seluruh negara.
"la juga akan menjadi nilai tambah kepada kebolehpasaran pelajar dan pembangunan tenaga pengajar dalam persijilan kemahiran professional," katanya pada majlis menandatangani MoU diantara STDC dan BPLTV.
Nazri mewakili STDC manakala BPLTV diwakili oleh pengarahnya, Ts Zulkernai Fauzi dan MoU dua pihak terbabit disaksikan bersama Menteri Besar, Datuk Seri Aminudin Shari dan Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek.
Dalam pada itu, kerjasama itu turut melibatkan tenaga pakar dan kemahiran daripada industri selaku penasihat teknikal dalam program-program TVET baharu yang sejajar dengan keperluan industri semasa dan akan datang
Menurut Nazri, STDC di bawah juridiksi kerajaan negeri Selangor telah menawarkan beberapa program penajaan yang turut melibatkan pelajar-pelajar daripada kolej vokasional bermula tahun 2022.
Menurutnya, keberkesanan program itu turut dapat dilihat daripada sudut meningkatkan kebolehpasaran pelajar dalam pembangunan kerjaya mereka selepas tamat tempoh pengajian.
"Jalinan kerjasama ini juga akan meneroka program pendidikan latihan kemahiran dalam bidang terkini tidak terhad kepada keperluan Revolusi Industri Keempat (IR4.0).
"Malah ia turut merangka program-program baharu bagi membangun bakat generasi muda yang akan berperanan menaiktaraf sosio-ekonomi masyarakat dalam mentranformasi industri di Malaysia ke arah automasi dan digitalisasi," katanya.
Beliau menambah pelan kerjasama itu juga bakal disemarakkan dengan termeterai MoU antara dua pihak mengkhususkan kepada pembangunan tenaga mahir profesional dalam bidang teknologi tinggi keperluan semasa dan masa depan.
Sebagai rekod hubungan kerjasama antara KPM dan STDC sudah terjalin sejak tahun lalu sehingga kini dan pada tahun ini KPM dan STDC menjalinkan kolaborasi bagi mensijilkan seramai 434 pelajar dari lapan kolej vokasional.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!