ACL: JDT tundukkan BG Pathum United 4-1
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) sekali lagi mencipta kejayaan apabila menamatkan saingan Liga Juara-juara Asia (ACL) dengan menewaskan BG Pathum United, 4-1 pada aksi Liga Juara-juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim di sini pada Selasa.
Pencapaian terbaharu itu tidak mengubah kedudukan JDT dalam aksi Kumpulan I bagi kejohanan terbesar rantau Asia itu di posisi ketiga setelah Ulsan Hyundai berjaya mengikat pendahulu kumpulan, Kawasaki Frontale 2-2 untuk berada pada posisi kedua.
Pada aksi terakhir Kumpulan I itu, pasukan pelawat tampak lebih agresif melakukan serangan ke arah gawang skuad Harimau Selatan di hadapan penyokong sendiri, bagaimanapun tiada aksi menarik dalam 20 minit pertama perlawanan.
Begitupun, serangan bertali arus skuad kendalian Jaturapattarapong Surachai akhirnya membuahkan hasil apabila hantaran lintang Santipharp Channgom yang ditolak Igor Sergeev menewaskan Ahmad Syihan Hazmi pada minit ke-28.
Seakan terancam dengan jaringan tersebut, anak buah Esteban Solari bertindak balas dengan menggandakan asakan ke kubu The Rabbits bagi memburu gol penyamaan.
Percubaan pertama JDT boleh dilihat pada minit ke-30 menerusi Akhyar Rashid dengan rembatan pemain sayap itu tepat ke arah penjaga gol Chatchai Bootprom.
Pada akhir babak pertama, JDT hampir memecahkan kebuntuan namun tandukan pemain bek tengah, Feroz Baharuddin sedikit tersasar.
Bersambung babak kedua, kedudukan JDT berubah apabila mereka bukan sahaja dihadiahkan sepakan penalti, bahkan BG Pathum terpaksa beraksi dengan 10 orang setelah Danilo Alves dilayangkan kad kuning kedua.
Pengadil perlawanan, Ma Ning membuat keputusan itu selepas membuat pemeriksaan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati tandukan Bergson Da Silva berpunca daripada sepakan sudut terkena pemain import itu.
Bergson tidak berdepan tugas sukar untuk meletakkan bola ke gawang BG Pathum yang menyaksikan Chatchai melayangkan badan ke arah yang berlainan pada minit ke-55.
Kelebihan beraksi dengan lebih seorang pemain itu, skuad Harimau Selatan semakin garang melakukan serangan bertali arus ke gawang lawan bagi menambah jaringan pada perlawanan itu.
Bergson hampir menambah jaringan tiga minit berselang namun percubaan yang dilakukan pada minit ke-59 sedikit tersasar melewati palang gol.
Rakan senegaranya, Heberty Fernandes turut melakukan percubaan ke gawang lawan namun Chatchai berada di posisi tepat menafikan rembatan deras pemain kelahiran Brazil itu.
BG Pathum dilihat tidak berupaya mengekang kemaraan JDT setelah Bergson menggandakan jaringan apabila rembatan lerek ke arah penjuru kanan gawang gagal diselamatkan Chatchai pada minit ke-66.
Tersentak dengan jaringan itu, The Rabbits melakukan serangan balas dan hampir menyamakan kedudukan namun tandukan pemain gantian, Ikhsan Fandi Ahmad pada minit ke-71 sedikit tersasar dari pintu gol lawan.
Arif Aiman Hanapi hampir memahatkan namanya dalam senarai penjaring menerusi gerakan cantik, namun rembatannya berjaya dinafikan penjaga gol.
Pemain gantian, Endrick Dos Santos yang dibawa masuk pada 10 minit terakhir permainan menambah derita pasukan pelawat apabila meledak gol ketiga dengan memanfaatkan umpanan Matthew Davies pada minit ke-85 menerusi sepakan voli dari jarak dekat.
Akhirnya, Arif Aiman melengkapkan malam gemilang buat JDT apabila meledak gol keempat pasukan dengan melakukan larian solo dari sayap kanan sebelum menggelecek pemain pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan lerek menewaskan BG Pathum.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!