Runding cara baik, tanpa belakangkan Perlembagaan - PM

Anwar ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun ke-25 MKIM dan Pameran 'Perjalanan Menelusuri Seni Islam' dan 'Alif Lam Ra: Kaligrafi Kontemporari Muslim di Muzium MKIM malam ini. - Foto Bernama
Anwar ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun ke-25 MKIM dan Pameran 'Perjalanan Menelusuri Seni Islam' dan 'Alif Lam Ra: Kaligrafi Kontemporari Muslim di Muzium MKIM malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Setiap pandangan dan cadangan boleh dirunding dengn baik tanpa membelakangkan Perlembagaan Persekutuan, sistem demokrasi berparlimen, dan prinsip Raja Berperlembagaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

Anwar berkata, ini termasuk pandangan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang mencadangkan agar lebih banyak tanggungjawab diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong, termasuk pemantauan secara terus terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

"Kita boleh runding dengan baik tetapi prinsip Perlembagaan, (sistem) demokrasi berparlimen, Raja Berperlembagaan itu tetap dipertahankan dan kita junjung prinsip yang sama.

"Jadi tidak harus ada kebimbangan kalau ada kenyataan dan pandangan termasuk daripada Sultan Johor. Pandangan ini boleh dibawa bincang tetapi tidak akan mempengaruhi dasar negara dan prinsip kita tentang Raja Berperlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas cadangan Sultan Johor dan kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran pameran "Perjalanan Menelusuri Seni Islam" dan "Alif Lam Ra: Kaligrafi Kontemporari Muslim" sempena sambutan ulang tahun ke-25 Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) di sini malam ini.

Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, titah cadangan Sultan Ibrahim supaya SPRM dan Petronas dipantau secara langsung oleh Yang di-Pertuan Agong, tidak boleh diambil ringan.

Anwar juga berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan pandangan yang dilontarkan Dr Mahathir.

"Dia (Dr Mahathir) hanya melontarkan pandangan dan kita bincang. Bagi saya tiada masalah. Pandangannya tidak langsung akan menggugat kuasa dan peruntukan Perlembagaan negara kita," kata Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!