Penunggang motosikal maut tersepit bawah lori kontena
GEORGE TOWN - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah lori kontena di hadapan sebuah kilang di Lebuh Raya Tun Dr Lim Ching Eu, Bayan Lepas di sini pada malam Selasa.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Pegawai Bomba Kanan II Rohaizal Abdul Aziz berkata, mangsa dikenali sebagai Saiful Azhar Shaari berusia 41 tahun.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di bawah lori kontena tersebut.
"Kita menerima panggilan kecemasan pada jam 8.21 malam mengatakan berlaku satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motosikal dan lori kontena.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, kita mendapati ada mangsa tersepit di bawah lori kontena berkenaan. Apabila diperiksa oleh kakitangan perubatan, mangsa telah meninggal dunia kerana parah.
"Kerja-kerja mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas 'Rescue Tools'. Mayat mangsa telah diserahkan pada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kata beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas lori kontena tersebut hilang kawalan lalu melanggar mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC.
"Kemalangan itu juga menyebabkan pemandu lori kontena yang berusia 38 tahun cedera ringan di kepala.
"Operasi turut melibatkan bantuan daripada BBP Jalan Perak. Operasi tamat pada jam 10.39 malam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!