'Jangan peluk Islam macam masuk pawagam' - Mufti Pulau Pinang

Wan Salim
Wan Salim
A
A
A

GEORGE TOWN - Pendaftar mualaf di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) khususnya dinasihatkan supaya tidak segera mendaftarkan seseorang yang memohon untuk menukar agamanya kepada Islam.

Sebaliknya, pihak JHEAINPP wajib memastikan terlebih dahulu keikhlasan dan keseriusan seseorang itu terlebih dahulu.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, adalah sebaiknya setiap calon mualaf diwajibkan mengikuti kursus berdasarkan modul yang disediakan oleh JHEAINPP sebelum didaftarkan secara rasmi untuk memeluk Islam.

"Saranan ini dibuat kepada Pendaftar Muallaf JHEAINPP secara khusus tetapi boleh juga jika jabatan agama Islam di negeri-negeri lain turut menambahbaik enakmen yang sama sebagai penyelarasan.

"Undang-undang berkaitan memeluk agama Islam perlu disemak semula untuk tujuan penambahbaikan. Bahagian IX dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang perlu diperkemaskan lagi supaya kelompongannya dapat diatasi," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Wan Salim berkata, adalah tidak wajar seseorang itu dilihat seolah-olah mempermainkan Islam apabila memeluk agama suci ini seperti memasuki pawagam.

"Demi memelihara imej agama suci ini, kita tidak suka mana-mana individu memperkotak-katikkannya seolah-olah menyamakan pemelukan Islam dengan memasuki pawagam dan boleh keluar semula sesuka hati.

"Justeru, kita menasihatkan mana-mana orang bukan Islam yang ingin memeluk agama Islam supaya berfikir panjang.

Artikel Berkaitan:

"Tiada siapa yang memaksa kamu untuk menjadi seorang Muslim. Namun apabila kamu menerima Islam sebagai agama kamu, maka kamu wajib memeliharanya dengan kekal menjadi seorang Muslim yang taat sepanjang hayat," katanya.

Wan Salim berkata demikian bagi mengulas mengenai Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang memberi kebenaran kepada seorang wanita dari Sabah untuk mencabar kesahihan pemelukan Islam ketika dia masih di bawah umur.

Wanita berusia 21 tahun itu telah memeluk Islam ketika dia berusia 17 tahun untuk berkahwin dengan teman lelakinya yang beragama Islam, tetapi dia memutuskan hubungan itu beberapa bulan kemudian.

Wanita itu mahu mahkamah mengisytiharkan sijil penukaran agamanya bertarikh 11 Jun 2020 sebagai tidak sah dan membatalkan Kad Akuan Masuk Islamnya yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Susulan daripada itu, Wan Salim berkata, isu tersebut perlu mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak-pihak berkaitan terutamanya MAINPP dan JHEAINPP.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!