PTPTN tawar diskaun bayaran balik sehingga 15 peratus

A
A
A

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid meninjau proses perkhidmatan bersama pelanggan di kaunter PTPTN, Menara PTPTN, Kuala Lumpur.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid meninjau proses perkhidmatan bersama pelanggan di kaunter PTPTN, Menara PTPTN, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menganjurkan ‘Hari Mesra Pelanggan’ bermula 12 hingga 31 Disember ini bagi membantu dan memudahkan para peminjam membuat rundingan bayaran balik pinjaman mereka.

Bersempena Hari Mesra Pelanggan, PTPTN turut melancarkan Kempen Jom Bayar PTPTN yang merupakan kempen julung kali diadakan dengan menyediakan pelbagai tawaran istimewa kepada para peminjam PTPTN.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, pelbagai tawaran istimewa disediakan kepada peminjam antaranya pemberian insentif diskaun bayaran balik sehingga 15 peratus serta penstrukturan semula pinjaman bagi mereka yang mempunyai tunggakan dengan membuat bayaran pendahuluan tunggakan minimum sebanyak RM300.

Beliau menjelaskan, pemberian insentif diskaun yang telah bermula sejak 14 Oktober lalu sehingga 31 Mac 2024 depan meliputi tiga kategori iaitu diskaun 10 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman, diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran dan diskaun 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual.

“Selain itu cabutan Jom Bayar PTPTN turut ditawarkan dengan hadiah tunai berjumlah RM70,000 kepada 140 pemenang. Tempoh promosi cabutan ini bermula 1 Disember hingga 31 Disember depan.

“Setiap negeri menawarkan 10 hadiah menarik kepada pemenang dan peminjam yang membuat bayaran balik dalam tempoh promosi dengan bayaran minimum RM300 di semua saluran akan layak mendapat satu cabutan.

Artikel Berkaitan:

“Lebih menarik, bagi bayaran balik pinjaman melalui myPTPTN akan mendapat bilangan cabutan berganda. Oleh itu, manfaatkan aplikasi tersebut dan anda akan mendapat lebih banyak peluang untuk menang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Mesra Pelanggan PTPTN pada Selasa.

Bagi memudahkan pelanggan berurusan sepanjang Hari Mesra Pelanggan, waktu operasi kaunter di pejabat PTPTN negeri dan cawangan seluruh negara dilanjutkan mulai jam 8.30 pagi hingga 6 petang termasuk Sabtu dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Inisiatif #PTPTNSediaBantu

Dalam usaha memenuhi jangkaan pelanggan, PTPTN sentiasa mengutamakan kemudahan yang kondusif dan fleksibel agar golongan itu dapat berhubung dengan mudah dan cepat.

Justeru Ahmad Dasuki menjelaskan, inisiatif #PTPTNSediaBantu merupakan usaha yang sedang dijalankan bagi memudahkan peminjam yang mempunyai sebarang pertanyaan atau urusan berkaitan bayaran balik pinjaman.

Beliau memaklumkan, peminjam boleh berhubung dengan barisan hadapan PTPTN untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik menerusi pusat panggilan (careline) di talian 03-2193 3000; Live Chat di www.ptptn.gov.my; Eksekutif Pemasaran PTPTN; e-AduanPTPTN dan media sosial.

“Ini merupakan peluang terbaik kepada semua peminjam untuk berunding dengan pegawai PTPTN, sama ada secara fizikal atau dalam talian.

“Peminjam bukan sahaja dapat menikmati diskaun bayaran balik pinjaman, malah berpeluang membuat penstrukturan semula pinjaman dengan tawaran menarik, berpeluang memenangi hadiah lumayan serta mendapat cenderamata eksklusif daripada PTPTN.

“Manfaat empat dalam satu ini sangat berbaloi untuk peminjam sempena Hari Mesra Pelanggan dan Kempen Jom Bayar PTPTN,” ujarnya.

Martabat pendidikan tinggi negara

Sejak ditubuhkan pada tahun 1997, PTPTN sentiasa memberi fokus utama dalam memastikan dana simpanan dan pinjaman dapat diurus secara efektif berlandaskan tadbir urus yang cemerlang, berintegriti dan strategik.

Ahmad Dasuki meletakkan tangan pada skrin paparan sebagai simbolik pelancaran Kempen Jom Bayar PTPTN sempena Hari Mesra Pelanggan PTPTN di Menara PTPTN pada Selasa.
Ahmad Dasuki meletakkan tangan pada skrin paparan sebagai simbolik pelancaran Kempen Jom Bayar PTPTN sempena Hari Mesra Pelanggan PTPTN di Menara PTPTN pada Selasa.

Ahmad Dasuki berkata, ia selari dengan iltizam kerajaan menubuhkan agensi berkenaan untuk menjayakan demokrasi pendidikan agar masyarakat mempunyai akses kepada pendidikan tinggi.

Menurut beliau, sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), perbadanan itu memainkan peranan penting dalam mendukung hasrat kerajaan dalam memastikan kelestarian serta akses kepada pendidikan tinggi.

“Sehingga 31 Oktober 2023, seramai 3.92 juta peminjam telah diluluskan pinjaman dengan jumlah pinjaman yang dikeluarkan sebanyak RM70.91 bilion.

“Selain itu seramai 2.25 juta peminjam atau 83.05 peratus yang sepatutnya membuat bayaran balik, telah mula membuat bayaran balik pinjaman mereka.

“Terima kasih diucapkan kepada peminjam atas sifat tanggungjawab yang ditunjukkan. Semoga amalan mulia ini dicontohi oleh para peminjam lain,” katanya.

Peminjam boleh melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!