Ceballos kekal rentak kemenangan Real Madrid

Ceballos pastikan tiga mata buat Real Madrid di Union Berlin. - Foto Agensi
Ceballos pastikan tiga mata buat Real Madrid di Union Berlin. - Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN Real Madrid, Dani Ceballos menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89 untuk memastikan kemenangan 3-2 ke atas Union Berlin dalam perlawanan terakhir Kumpulan C Liga Juara-Juara di Olympiastadion Berlin pada Rabu.

Tiga mata diraih gergasi La Liga Sepanyol itu membolehkan skuad kendalian Carlo Ancelotti unggul memimpin kumpulan dengan 18 mata hasil enam kemenangan dalam semua perlawanan.

Kekalahan keempat kelab Bundesliga Jerman itu menyaksikan Union Berlin menamatkan saingan Eropah di tempat terakhir.

Tuan rumah telah bermula baik menyebabkan penjaga gol Real, Kepa Arrizabalaga perlu bekerja lebih keras apabila menyelamatkan percubaan jarak dekat Kevin Behrens ketika perlawanan baru bermula 55 saat.

Ceballos kemudian hampir meletakkan kelab Sepanyol itu di depan pada minit ke-16 namun palang menjadi penghalang, diikuti rembatan tersasar pada minit ke-43.

Tonggak veteran Real, Luka Modric mendapat sepakan penalti pada minit ke-45, namun diselamatkan Frederik Ronnow.

Tuan rumah berjaya menjaringkan gol pada penghujung separuh masa pertama menerusi Kevin Volland yang memanfaatkan kesilapan David Alaba minit ke-46.

Separuh masa kedua, Union yang perlu menang untuk menghidupkan peluang layak ke Liga Europa kembali berdepan karakter sebenar Real yang mengasak dengan tekanan yang lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Gol Real akhirnya hadir hasil tandukan Joselu pada minit ke-61 sebelum melebarkan jaringan pelawat dengan jaringan minit ke-72.

Bagaimanapun, kelab Jerman tersebut berjaya menyamakan kedudukan menerusi percubaan Alex Kral pada minit ke-85, sebelum Ceballos menokhtah tiga mata pelawat empat minit selepas itu.

Ancelotti sebelum perlawanan mendedahkan bahawa dia percaya hanya satu pasukan mampu memberikan saingan kepada skuadnya untuk merebut trofi musim ini.

"City adalah pilihan kerana mereka mempunyai skuad yang memenangi kejuaraan ini musim lalu dan mereka tidak banyak berubah.

"Bagaimanapun dalam Liga Juara-Juara, seperti biasa ada kejutan di penghujungnya.

"Real Madrid adalah pasukan yang akan berjuang sehingga ke penghujungnya.

"Kami tidak pernah menganggap diri kami sebagai pasukan pilihan sama seperti City.

"Mereka memenanginya tahun lalu dan boleh memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara musim ini," kata Ancelotti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!