Bahaya gosip liar

Bergosip ini bukan sahaja ada dalam budaya orang Asia tetapi juga berada dalam budaya bangsa lain juga.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
Bergosip ini bukan sahaja ada dalam budaya orang Asia tetapi juga berada dalam budaya bangsa lain juga.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

MENYINGKAP peribahasa Melayu ‘kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang’ seperti merujuk kepada perbuatan orang kita yang gemar bergosip.

Bergosip ini bukan sahaja ada dalam budaya orang Asia tetapi juga berada dalam budaya bangsa lain juga.

Terdapat kajian yang meneliti tingkah laku gosip ini iaitu 'Gossip as Cultural Learning' oleh Baumeister, Liqing Zhang dan Kathlee mencadangkan bahawa gosip berfungsi untuk membantu orang ramai belajar tentang cara hidup dalam budaya masyarakat mereka.

Malahan, tema gosip juga ada diangkat dalam bentuk yang lebih kreatif seperti drama bersiri sensasi dari Amerika Syarikat seperti 'Gossip Girl', filem bertajuk 'Gossip' (2000) serta filem dari Korea Selatan 'The Gossip' (2021).

Gosip liar

Bahaya budaya gosip liar dalam masyarakat adalah topik yang sangat penting dan kompleks.

Budaya gosip liar, yang sering kali tersebar tanpa asas yang kukuh, dapat membawa kepada pelbagai kesan negatif baik pada individu mahupun masyarakat secara keseluruhannya.

Artikel ini akan membincangkan tentang sifat dan sebab-sebab kenapa gosip liar ini berlaku, kesan-kesannya terhadap individu dan masyarakat, serta langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan fenomena ini.

Artikel Berkaitan:

Sifat dan punca gosip liar

Gosip liar merupakan satu bentuk komunikasi yang mengandungi maklumat atau dakwaan yang belum tentu kebenarannya.

Gosip liar seringkali melibatkan cerita-cerita tentang orang lain yang tidak ada di situ untuk membela diri mereka sendiri.

Secara spesifiknya ada beberapa sebab mengapa gosip liar ini begitu berleluasa.

Ada kawan bergosip: Manusia secara semulajadi memang suka bercerita dan mendengar cerita tentang orang lain, terutama cerita-cerita yang sensasi atau kontroversi.

Mencari Perhatian: Orang yang suka menyebarkan gosip biasanya mereka jenis suka mendapatkan perhatian.

Cemburu atau dendam: Gosip seringkali digunakan sebagai alat untuk menyerang atau memburukkan seseorang kerana alasan peribadi.

Orang yang menjadi mangsa gosip boleh sampai hilang peluang pekerjaan, dipulau, dipandang serong dan sebagainya! Umpama ‘kita semua jahat dalam cerita seseorang’ begitulah kehendak penyampai.

Kesan gosip liar

Kesan daripada budaya gosip liar sangat luas dan seringkali merugikan sama ada diperingkat individu ataupun peringkat organisasi.

Terdapat beberapa aspek gosip liar memberikan kesan negatif antaranya adalah seperti:

Kesan terhadap individu: Gosip liar boleh merosakkan reputasi seseorang, menyebabkan seseorang stres, dan merosakkan hubungan peribadi dan reputasi profesional mereka.

Sebagai contoh kesan gosip apabila ia dijadikan pertimbangan secara tidak sedar dalam menilai prestasi seseorang dan boleh menjejaskan peluang kenaikan pangkat.

Kesan kepada masyarakat: Gosip yang tidak bertanggungjawab boleh mencetuskan kebencian, prasangka buruk antara kaum dan agama, serta boleh menyebabkan konflik dalam masyarakat.

Malahan, gosip liar tersebut boleh menjejaskan matlamat untuk merealisasikan Malaysia Madani.

Gangguan keharmonian sosial: Gosip liar boleh mencetuskan konflik dan ketegangan sosial, mengganggu keharmonian dan ketenteraman masyarakat.

Oleh itu, suka dicadangkan agar pendedahan awal berkaitan bahaya gosip perlu diterapkan ketika di bangku sekolah lagi agar generasi akan datang lebih matang dalam menangani berita palsu.

Makalah ‘Fake News as Discursive Genre: Between Hermetic Semiosis and Gossip, Social Epistemology’ boleh dijadikan rujukan untuk pembentukan modul yang bersesuaian.

Secara kesimpulannya, dari perbincangan di atas, jelas bahawa budaya gosip liar adalah fenomena yang merugikan dan harus ditangani dengan serius. Pendekatan melalui pendidikan dan kerjasama pelbagai pihak dapat mengurangkan kesan negatif dari gosip liar dan mencipta masyarakat yang lebih sihat dan harmonis.

Adalah penting bagi setiap individu untuk memainkan peranan dalam memerangi fenomena ini demi kesejahteraan bersama. - Awani

*Artikel ini adalah tulisan Salmiwati Othman, Calon Phd, Pusat Kajian Kepimpinan & Polisi Pendidikan, Fakulti Pendidikan UKM & Timbalan Pendaftar, Universiti Teknologi MARA; dan Dr Ahmad Sauffiyan Hasan, Penganalisis Perang Saraf Media dan Informasi.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro Awani.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!