Polis selesai rekod keterangan Kit Siang
PETALING JAYA - Polis telah merekod keterangan veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang di sini pada Rabu, berhubung kenyataannya berkaitan kemungkinan orang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri.
Keterangan Kit Siang diambil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Balai Polis Sea Park.
Perkara itu disahkan Timbalan Pengarah JSJ (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa.
"Pihak USJT telah selesai merekod keterangan beliau (Kit Siang) pada jam 11 pagi tadi," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Tambah Rusdi, orang ramai juga diingatkan agar sentiasa prihatin terhadap isu sensitif dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman negara.
Sebelum itu, Kit Siang dilihat hadir ke Balai Polis Sea Park kira-kira jam 9.35 pagi dengan ditemani dua anaknya Lim Guan Eng dan Lim Hui Ying selain sekumpulan penyokong dan beberapa pemimpin DAP.
Antaranya, bekas Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Gasing, Rajiv Risyakaran.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan siasatan dijalankan berhubung kandungan penulisan Kit Siang dalam blog limkitsiang.com pada 30 November 2023 yang menyentuh isu Perlembagaan berhubung pelantikan Perdana Menteri Malaysia.
Penulisan yang disiasat bertajuk 'Malaysian Constitution Provides For a Malaysian Dream And Not a Mono-Ethnic Dream As It Provides That a Non-Malay Can Be a Prime Minister' (Perlembagaan Malaysia menjanjikan impian Malaysia dan bukannya impian etnik tunggal kerana Perlembagaan tidak menghalang seorang bukan Melayu dari menjadi Perdana Menteri).
Kemudian, Kit Siang dalam satu kenyataan mengesahkan akan memberi keterangan kepada PDRM berhubung satu kenyataan dikeluarkannya di Manchester, United Kingdom 29 November lalu di hadapan pelajar Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!