HARA Rasuah Busters: Pameran tali gantung, rotan curi perhatian
SHAH ALAM - Tali gantung dan rotan yang dipamerkan di reruai Jabatan Penjara sempena Program Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) Rasuah Busters 2023 di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu berjaya mencuri tumpuan ramai pengunjung.
Pegawai Unit Latihan Penjara Sungai Buloh, Inspektor Penjara Mohamad Zulfahmi Zulkeple berkata, ramai pengunjung tertarik melihat alatan yang digunakan untuk menghukum pesalah itu kerana tidak pernah melihatnya dari dekat sebelum ini.
Katanya, rotan yang dipamerkan membabitan beberapa jenis mengikut kategori kesalahan yang dilakukan iaitu rotan syariah, dewasa dan juvana.
"Ramai antara pengunjung mengakui mereka gerun melihat alatan-alatan untuk menjatuhkan hukuman ini dan ia sekali gus memberi keinsafan kepada orang ramai untuk menjauhi jenayah termasuk jenayah kolar putih.
"Ia kerana mengikut undang-undang, pesalah rasuah boleh dikenakan hukuman sebat maksimum sebanyak 24 kali," katanya kepada Sinar Harian.
Mohamad Zulfahmi memberitahu, sempena program selama dua hai itu, pihaknya turut mempamerkan pakaian-pakaian banduan mengikut kategori iaitu bermula dari reman hinggalah sabitan serta peralatan-peralatan yang digunakan banduan dalam penjara seperti selipar, dulang makanan, selimut dan tilam.
Selain itu, tambahnya, orang awam turut didedahkan dengan program yang dilaksanakan di penjara seperti Program Pembangunan Insan (PPI).
"Pada hari kedua esok (Khamis), banduan atau dipanggil juga orang diselia (ODS) akan berkongsi pengalaman mereka semasa dalam penjara.
"Jadi pameran dan perkongsian yang dilakukan sepanjang program ini diharapkan dapat membuka mata orang awam untuk lebih mengetahui peranan setiap agensi kerajaan terutama Jabatan Penjara dan memberi kesedaran kepada mereka untuk sama-sama memerangi jenayah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!