Tak licik mana pun

Gambar kecil: Mohd Adli
Gambar kecil: Mohd Adli
A
A
A

HULU TERENGGANU - Kelicikan seorang lelaki yang memecah masuk rumah seorang peniaga di Padang Setengge di sini kelmarin tidak bertahan lama apabila ditahan polis keesokannya.

Suspek yang mempunyai 14 rekod jenayah lampau itu ditahan berhampiran Klinik Kesihatan Kuala Berang kira-kira jam 10 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian itu hanya disedari pemiliknya kira-kira jam 7.30 pagi kelmarin selepas isterinya memaklumkan beg tangannya hilang.

"Setelah memeriksa rumah, mangsa yang berusia 49 tahun itu dan isterinya mendapati pelbagai barangan berharga termasuk barangan kemas, telefon bimbit dan wang tunai hilang dengan kerugian dianggarkan bernilai RM15,000.

"Suspek dipercayai memasuki rumah mangsa melalui tingkap di bahagian ruang tamu, dengan mengumpil tingkap berkenaan ketika empat beranak itu tidur," katanya ketika dihubungi hari ini.

Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Berang pada hari yang sama sebelum gerakan memburu suspek giat dijalankan.

Katanya, suspek yang positif methamphetamine kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!