KXP tarik kehadiran pelabur ke Kedah
ALOR SETAR - Kerajaan Kedah mempersiapan semua keperluan dan syarat bagi membangunkan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan kini mengharapkan pertimbangan kerajaan Persekutuan terutamanya Kementerian Pengangkutan (MoT).
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tarikan kehadiran ramai pelabur yang masuk melabur ke negeri ini juga adalah disebabkan oleh rancangan projek KXP tersebut.
Menurutnya, terbaru, pelabur antarabangsa dari Itali iaitu Enav Group yang merupakan perusahaan yang memfokuskan kepada penyediaan layanan navigasi udara dan pengurusan lalu lintas udara antara pelabur baharu mahu menjalinkan kerjasama.
"Saya telah ke Itali baru-baru ini untuk melihat kecanggihan teknologi yang ditawarkan syarikat berkenaan dan saya rasa ia akan menjadi teknologi masa hadapan yang boleh digunapakai dalam industri penerbangan.
"Selain itu, mereka turut menyediakan latihan, pemindahan teknologi dan peralatan terkini yang mampu merealisasikan KXP. Kerjasama itu juga antaranya bertujuan untuk kebolehlaksanaan 'Digital Tower Technology' untuk diaplikasikan di Kedah Aerotropolis," katanya selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.
Muhammad Sanusi terus menekankan bahawa projek KXP akan dibangunkan melalui pelaburan syarikat swasta tempatan yang tidak melibatkan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.
“Sebelum ini, Menteri Ekonomi berkata, lambat laun projek berkenaan akan menggunakan dana kerajaan Persekutuan terutamanya dalam urusan pengambila balik tanah. Itu tidak tepat kerana pemgambilan balik tanah akan dibuat oleh pelabur, jadi saya harap kenyataan itu dapat diperbetulkan semula," ujar beliau.
Pada Sabtu lalu, Sinar Harian melaporkan Kedah Aerotropolis atau KXP terus mendapat kepercayaan pelabur antarabangsa apabila memeterai kerjasama baharu dengan pelabur dari Itali.
Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, Kedah Aerotropolis menjalin kerjasama dengan Enav Group, yang merupakan perusahaan memfokus kepada penyediaan layanan navigasi udara dan pengurusan lalu lintas udara.
Sementara itu, Dalam pembentangan Belanjawan 2023 sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cadangan membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, Selangor, namun bercadang untuk menghentikan pembinaan KXP.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!