Rombakan Kabinet: Lantikan bukan anugerah tapi tanggungjawab
SHAH ALAM - Anggota Kabinet baharu yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh melihat pelantikan itu sebagai anugerah sebaliknya kewajipan menggalas jawatan utama dalam kementerian.
Pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, ahli Jemaah Menteri dan timbalan menteri mempunyai peranan dan tanggungjawab besar dalam mengemudi negara ke arah pentadbiran lebih baik.
“Saya percaya penstrukturan semula (Kabinet) ini dilakukan oleh Anwar adalah hasil daripada pemerhatian beliau dan mendapati terdapat keperluan untuk pembaharuan dilakukan.
“Kalau kita lihat, rombakan Kabinet yang dilakukan bukan berskala besar kerana hanya melibatkan pengguguran seorang menteri.
“Bagaimanapun, perubahan secara besar-besaran itu hanya melibatkan pertukaran portfolio di dalam Kabinet berdasarkan pasukan yang telah beliau bina dalam tempoh setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika ditemui selepas program Bicara Bina Negara di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Sebelum ini, akhbar melaporkan Anwar telah mengumumkan pelantikan masing-masing lima menteri dan timbalan menteri, termasuk empat muka baharu dan penampilan semula lima bekas menteri dalam rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Pada sidang media pada Selasa, Perdana Menteri turut mengumumkan penyusunan semula kementerian berdasarkan keperluan semasa melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang kini dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Kementerian Komunikasi dan Digital pula dipecahkan kepada masing-masing Kementerian Digital serta Kementerian Komunikasi.
Rombakan itu menyaksikan jumlah ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31, manakala timbalan menteri meningkat daripada 27 kepada 29 sekali gus jumlah keseluruhan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini adalah 60 orang.
Dalam pada itu, Sivamurugan memberitahu, anggota Kabinet baharu itu perlu menunjukkan kebersamaan sebagai satu pasukan untuk meningkatkan kepercayaan dan keyakinan orang Melayu dan bukan Melayu.
Menurutnya, antara perkara lain perlu diperbaiki ialah komunikasi dan penjenamaan Madani yang mana semua ahli Jemaah Menteri perlu bersama-sama memikul tanggungjawab sebagai satu pasukan dan tidak boleh bergantung kepada Anwar sahaja.
“Apabila memasuki Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), pasukan ini yang bertanggungjawab dalam memastikan misi kekal dan tawan berjaya dilakukan.
“Kekal bermaksud mengekalkan kerusi yang telah dimenangi.
"Sementara itu, tawan pula merebut semula kerusi yang mereka kalah.
"Semua ini boleh dilakukan jika rakyat yakin dan percaya kepada Kabinet ini,” ujarnya.
Ketika diminta mengulas mengenai pecahan dan penubuhan kementerian baharu, Sivamurugan berkata, ia dilaksanakan mengikut peredaran semasa serta keperluan negara untuk membentuk pentadbiran inklusif.
Katanya, setiap kementerian yang telah dipecahkan itu menggalas peranan besar dan digesa untuk merangka pelan jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!