Tiada tempoh bulan madu, tegas Anwar
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada tempoh berbulan madu buat mana-mana anggota Kabinet.
Sebaliknya mereka dituntut untuk menyelesaikan masalah rakyat, menoktahkan kemiskinan tegar, menguasai bidang-bidang penting, memacu pertumbuhan ekonomi dan menjamin kemakmuran negara.
"Dalam mesyuarat Kabinet, saya tekankan tentang bidang tugas baharu setiap kementerian masing-masing," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.
Menurutnya, tumpuan dan keutamaan kini mesti lebih terarah dan pantas dalam usaha menterjemah cita serta nurani rakyat.
"Mesyuarat juga mengutuskan penghargaan buat mantan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar atas sumbangan yang telah diberikan," katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau turut mengalu-alukan kebersamaan ahli-ahli Jemaah Menteri yang baharu iaitu Menteri Kewangan II; Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Perladangan dan Komoditi; Datuk Seri Johari Ghani, Menteri Kesihatan; Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Digital; Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia; Steven Sim pada mesyuarat pertama kabinet baharu Jemaah Menteri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!