Pengasas MYAirline, 4 syarikat gagal batal saman 15 pelabur

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saman oleh 15 pelabur terhadap pengasas bersama dan pemegang saham terbesar MYAirline, Datuk Allan Goh Hwan Hua dan empat lagi syarikatnya berhubung Nilai Penebusan Bulanan dan Pulangan Pembiayaan Bulanan yang tertunggak melebihi RM8 juta akan ditentukan melalui perbicaraan penuh tahun depan.

Ini susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Adlin Abdul Majid menolak permohonan Allan dan empat syarikatnya selaku defendan untuk membatalkan saman itu.

"Kes saman tersebut bukanlah satu kes yang mudah dan jelas untuk mahkamah membatalkan tuntutan plaintif dan terdapat isu yang perlu diselesaikan semasa perbicaraan,” katanya dalam penghakiman ringkas pada Rabu.

Dalam saman yang difailkan pada 21 Julai 2022 menamakan Allan dan empat syarikat berkenaan iaitu I-Serve Online Mall Sdn Bhd (ISOM), Bright Moon Venture PLT (BMV), QA Smart Partnership PLT (QAS) dan Trillion Cove Holdings Bhd (TCH).

Mahkamah kemudian mengarahkan Allan dan empat defendan membayar kos sebanyak RM8,000 kepada plaintif dan menetapkan sembilan hari perbicaraan kes itu bermula 14 Oktober tahun depan.

Allan dan empat syarikat itu telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu atas alasan bahawa tindakan undang-undang itu tidak sah dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Mereka juga telah mengemukakan kenyataan pembelaan mereka tahun lalu terhadap tuntutan yang dibawa oleh para pelabur - P. Ponnamal, A. Prema, Deborah Ann Rodrigo, YM Che Engku Mahirah Abdullah, Goh Chiang Beng, Alexander Vincent, Gea Ban Thong, Ng Guat Tin, Koh Kock Keang, S.Supramaniam, Harith Abdul Hamid, Ismat Abdul Rauf, Koh Kok Chong, Gea Seok Eng dan K. Thangamuthu.

Dalam kenyataan tuntutan mereka bertarikh 21 Julai tahun lalu, 15 plaintif tersebut mendakwa bahawa syarikat-syarikat itu gagal membuat pembayaran bulanan yang dipersetujui dari November 2021 hingga Jun 2022, walaupun telah menghantar surat tuntutan melalui peguam mereka.

Artikel Berkaitan:

Plaintif berusia antara 58 hingga 74 tahun itu mendakwa bahawa Allan sebagai pengasas bersama dan pemegang saham majoriti MYAirline Sdn Bhd dan empat defendan lain telah melanggar tanggungjawab fidusiari dan seharusnya dibuat bertanggungjawab secara peribadi atas kerugian yang dialami oleh para pelabur.

Mereka menyatakan bahawa Allan dalam mengeluarkan pelbagai notis dan arahan serta mengadakan panggilan persidangan dengan mereka, telah membuat representasi mengenai isu-isu yang sedang dihadapi oleh ISOM dan kesannya pulangan bulanan para pelabur.

Mereka juga mendakwa bahawa ISOM TCH, dan firma lain telah diserbu oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 11 November 2021 dan perintah pembekuan didakwa telah dikeluarkan terhadap syarikat tersebut.

Oleh itu, plaintif memohon pembayaran balik harga langganan RM8 juta serta pembayaran balik tunggakan penebusan bulanan terhutang dan faedah tahunan lima peratus ke atas mana-mana jumlah penghakiman yang diberikan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!