Polis jumpa stoking dalam takungan air berhampiran lokasi mayat Zayn Rayyan
PETALING JAYA - Sehelai stoking ditemukan di kawasan takungan air berhampiran lokasi mayat Zayn Rayyan ditemukan pada 6 Disember lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan bagaimanapun berkata, ia tidak dapat dipastikan sama ada stoking berkenaan adalah milik kanak-kanak autisme itu atau sebaliknya.
Kata beliau, stoking tersebut antara barangan dan objek yang perlu dihantar ke makmal untuk menjalani analisa lanjut.
"Kita (polis) menjumpai sehelai sahaja stoking tersebut dan ia perlu dibuat pengesahan lanjut sama ada kepunyaan mangsa atau bukan," katanya pada Rabu.
Media pada Selasa melaporkan, polis mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor bagi membantu menyedut keluar air di takungan berhampiran lokasi penemuan mangsa.
Proses itu dilakukan bagi melihat sama ada wujud sebarang bukti baharu, tetapi tiada penemuan baharu diperoleh pada Selasa.
Proses menyedut air di takungan itu kemudiannya disambung pada pagi Rabu.
Terdahulu, hasil pemeriksaan pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama kira-kira dua jam di setiap rumah di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, dilihat membawa keluar dua kotak dari kawasan perumahan tersebut.
Kotak berkenaan dipercayai berisi bahan bukti bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak malang itu.
Lebih 25 anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor melakukan pemeriksaan itu bermula pukul 8.40 malam tadi dan berakhir kira-kira 10.30 malam.
Pemeriksaan didapati tertumpu di tingkat dua dan tiga blok berkenaan yang berketinggian empat tingkat.
Usaha media untuk mendapatkan gambaran lebih lanjut proses itu terhalang, selepas tidak dibenarkan mendekati kawasan mahupun berkumpul di hadapan blok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!