91 peratus penduduk Gaza kebuluran
KHAN YUNIS - Unit kereta kebal dan jet pejuang Israel melancarkan serangan baharu ke atas penduduk Palestin yang kelaparan di selatan Genting Gaza berikutan aliran bantuan terhenti akibat kempen pengeboman yang ganas dan berlarutan selama lebih dua bulan.
Krisis tersebut semakin meruncing di seluruh wilayah terkepung itu setelah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kira-kira 91 peratus daripada kira-kira 2.3 juta populasi di Gaza kini berdepan krisis kebuluran manakala 63 peratus terpaksa berlapar sepanjang hari.
Warga emas dikenali sebagai Tawfik Abu Breika berkata, blok kediamannya di Khan Yunis dibedil tanpa sebarang amaran pada Selasa.
“Hati nurani masyarakat dunia sudah mati, tiada lagi rasa belas kasihan atau nilai kemanusiaan dan moral.
"Ini adalah bulan ketiga kami seoalah-olah sedang menunggu kematian akibat kempen pembersihan etnik dan kemusnahan secara total di Genting Gaza,” katanya dalam nada kesal.
Di bahagian paling selatan di Rafah yang bersempadan dengan Mesir turut menjadi sasaran bedilan rejim Zionis sedangkan kawasan itu telah diisytiharkan sebagai ‘zon selamat’ pada peta perpindahan penduduk.
“Pada waktu malam kami tidak dapat tidur kerana gegak-gempita bunyi serangan.
"Pada waktu siang, kami merayau-rayau di kawasan sekitar untuk mencari makanan buat anak kami. Tetapi, kini tiada lagi makanan,” ujar bapa kepada enam anak, Abu Khalil, 40.
Selain menghadapi kempen pengeboman bertalu-talu, kebanyakan penduduk Gaza juga sedang bergelut dengan kelaparan dan dahaga melampau.
Mohammed Obaid yang menggali sisa runtuhan di Rafah dengan hiba menyatakan, tiada bekalan elektrik, tiada bahan api, tiada air dan tiada ubat-ubatan untuk mereka.
PENYAKIT BERJANGKIT MENULAR
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberi amaran penyakit berjangkit kini menular dengan cepat ke seluruh Gaza, sekali gus mewujudkan masalah tambahan terhadap sistem kesihatan yang sudah lumpuh.
Wakil WHO di Palestin, Richard Peeperkorn berkata, kes impetigo, meningitis dan jaundis telah direkodkan selain cacar air serta jangkitan saluran pernafasan atas.
“Terdapat kira-kira 60,000 kes diarea dalam kalangan kanak-kanak berusia di bawah lima tahun dan lebih 16,000 kes jangkitan pernafasan akut.
“Kudis dan ruam pada kulit juga menunjukkan peningkatan di samping trauma melampau dan kecederaan tulang belakang,” jelasnya.
Menurutnya, WHO sedang cuba menubuhkan makmal mudah alih di Gaza untuk menganalisis sampel jaundis sambil menambah tempat berlindung sementara yang sesak dan sanitasi yang kurang sempurna menyumbang kepada penyebaran penyakit pada kadar pantas.
Ketika ini, situasi di Hospital al-Ahli juga semakin huru-hara berikutan doktor terpaksa merawat pesakit di atas lantai selain berdepan bekalan bahan api, oksigen dan air yang terhad.
Kemudahan itu juga mengalami masalah kekurangan kakitangan perubatan untuk menangani kebanjiran pesakit.
“Ketiadaan peralatan untuk melakukan prosedur tertentu menyebabkan staf terpaksa memotong anggota tubuh pesakit sebagai pilihan terakhir bagi menyelamatkan nyawa mereka,” ujarnya lagi.
Dalam tempoh 66 hari perang ganas itu tercetus, lebih dua pertiga daripada 36 hospital dan lebih 70 peratus kemudahan penjagaan kesihatan primer di Gaza tidak lagi beroperasi.
Data dikemaskini Kementerian Kesihatan Gaza mendapati angka korban kezaliman rejim Zionis kini meningkat kepada lebih 18,400 orang manakala kira-kira 50,100 lagi cedera. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!