Sultan Johor rasmi Menara Hasil Kluang
KLUANG - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Menara Hasil Kluang di sini pada Khamis.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Dr Mohd Nizom Sairi.
Menara Hasil Kluang, setinggi lapan tingkat itu terletak di Jalan Batu Pahat dan mula dibina pada 2016 dan siap sepenuhnya pada 2019.
Bangunan ini juga menjadi yang pertama di daerah Kluang untuk mendapat pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI), sebuah pengiktirafan berdasarkan konsep kelestarian serta penggunaan sumber yang cekap.
LHDN Cawangan Kluang mula beroperasi pada 1 Januari 1972 dan merupakan pejabat Jabatan Hasil Dalam Negeri yang kedua di negeri Johor.
Kawasan pentadbirannya meliputi daerah Kluang dan Batu Pahat, dengan kedudukan strategiknya Bandar Kluang sebagai lokasi pentadbiran percukaian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!