Penduduk gesa atasi segera banjir kilat di Puncak Alam
KUALA SELANGOR - Penduduk dan pengguna jalan raya menggesa pihak berwajib menangani segera isu banjir kilat di Jalan Persiaran Puncak Alam 6 di sini berikutan laluan itu kerap dilimpahi air sejak kebelakangan ini.
Seorang penduduk, Karuzi Che Agih, 39, berkata, laluan itu digenangi air kira-kira 0.3 meter setiap kali hujan lebat melebihi dua jam.
Menurutnya, keadaan itu merisaukan penduduk yang melalui laluan utama itu untuk melakukan urusan harian.
"Kebiasaannya apabila hujan, air mula bertakung di jalan ini dan lebih menyulitkan ia mengambil masa lama untuk surut," katanya ketika ditemui pada Rabu.
Menurut Karuzi, banjir kilat juga menyebabkan laluan tersebut sesak berikutan pengguna terpaksa berpatah balik dan menggunakan jalan alternatif.
Jelasnya, pengguna biasanya melalui Jalan Fasa 1 yang jarak perjalanannya tiga kilometer lebih jauh berbanding laluan asal.
"Keadaan ini menyusahkan penduduk kerana ia memakan masa lama untuk sampai ke destinasi dituju dan berlaku kesesakan aliran trafik," tambahnya.
Seorang penduduk, Rosli Abd Naim, 48, berkata, tahun ini sahaja sudah tujuh kali laluan itu dilanda banjir kilat.
Ujarnya, sistem saliran longkang jalan tidak efisien sehingga menyebabkan aliran air tersekat menjadi antara faktor berlakunya banjir kilat.
"Sistem saliran sedia ada di bahu jalan ini sempit dan tidak dapat menampung aliran air dari kawasan perumahan penduduk hingga menyebabkannya melimpah.
"Saya berpandangan, sistem saliran di kawasan ini perlu dinaik taraf oleh pihak berkaitan," tambahnya.
Pengerusi Pemuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam, Mohd Hanif Md Sultan berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta mempercepatkan kerja-kerja pembinaan dan menaik taraf longkang serta sistem pembetung bagi menangani masalah itu.
Menurut beliau, longkang dan sistem pembetungan yang menghubungkan mana-mana saliran perlu ditukar kepada saiz lebih besar untuk membolehkan aliran air berjalan lancar.
"Kita berharap pihak berwajib menangani masalah ini segera apatah lagi kita sudah memasuki hujung tahun yang mana hujan dijangka lebih kerap," jelas beliau.
Sinar Harian pada Selasa lalu melaporkan, Jalan Persiaran Puncak Alam 6 di sini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan sejak jam 2.30 petang, Selasa.
Keadaan itu menyebabkan laluan sepanjang kira-kira 150 meter itu digenangi air pada paras 0.3 meter.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!