Pencapaian Penilaian Sekolah Rendah Agama Selangor merosot

Seramai 44,202 calon berdaftar dan 43,127 atau 98.9 peratus menduduki PSRA di Selangor pada tahun ini. - Gambar hiasan
Seramai 44,202 calon berdaftar dan 43,127 atau 98.9 peratus menduduki PSRA di Selangor pada tahun ini. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pencapaian Peratus Kelulusan Keseluruhan bagi peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) di Selangor diumumkan pada Khamis menunjukkan berlaku sedikit penurunan berbanding tahun 2022.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shazihan Ahmad berkata, peratus lulus mengalami penurunan sebanyak 0.91 peratus iaitu 88.5 peratus berbanding 88.96 peratus pada tahun lalu.

Keputusan PSRA tahun ini menunjukkan penurunan untuk pangkat Mumtaz (Cemerlang) dan Jayyid Jiddan (Sangat Baik) yang berkemungkinan menjadi antara faktor penyebab peratus keseluruhan juga turut menurun.

"Peratus calon yang mendapat pangkat Mumtaz menurun 0.5 peratus bersamaan 15.3 peratus membabitkan 6,689 calon berbanding 15.8 peratus membabitkan 6,803 calon pada tahun lepas.

"Bagi pangkat Jayyid Jiddan pula, berlaku penurunan iaitu 32.6 peratus dengan 14,223 calon berbanding 22.6 peratus iaitu 9,743 calon pada tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan dibacakan Timbalan Pengarah Operasi JAIS, Salwana Ahmad Dahlan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, bagaimanapun seramai 10,096 calon atau 23.1 peratus mendapat pangkat Jayyid (Baik) dan peratusan itu meningkat berbanding 9,743 calon atau 22.6 peratus pada tahun lalu.

Ujarnya lagi, calon yang mendapat pangkat Maqbul (Lulus) juga meningkat 1.7 peratus iaitu 7,638 calon atau 17.5 peratus berbanding hanya 6,839 calon atau 15.8 peratus untuk 2022.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah (Pendidikan Islam) JAIS, Anas Ayob berkata, penurunan peratusan pencapaian PSRA adalah dalam jangkaan JAIS.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penurunan peratusan antaranya adalah berpunca daripada kesan Covid-19.

"Sebab masa untuk pembelajaran mereka (pelajar) dalam tempoh Covid-19 adalah secara dalam talian dan dalam kajian kita melihat (ketika itu) ada masalah sedikit.

"Ia termasuk masalah peranti dan talian tetapi kita tetap berusaha untuk memastikan anak-anak kita mendapat keseluruhan masa untuk pembelajaran secara bersemuka tahun ini," katanya.

PSRA membabitkan satu ujian dan lima kertas iaitu Ujian Tilawah dan Hafazan (UTH); kertas Akhlak dan Sirah (AS01); Bahasa Arab (BA02); Jawi, Imlak dan Khat (JIK03); Tauhid dan Fiqah (TF04) dan Tajwid (TJ05).

Seramai 44,202 calon berdaftar dan 43,127 atau 98.9 peratus menduduki PSRA di Selangor pada tahun ini dengan membabitkan sebanyak 515 pusat peperiksaan di 74 buah sekolah seluruh negeri.