Lima individu ditahan terlibat samun berparang
NILAI - Polis berjaya menahan lima suspek terbabit dengan kejadian samun menggunakan parang yang mengakibatkan kerugian RM10,600 di daerah ini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kesemua suspek berusia antara 22 hingga 33 tahun itu ditahan dalam beberapa tangkapan di Petaling Jaya dan Sepang di Selangor serta di daerah ini dari jam 2 pagi hingga 6 petang.
"Kira-kira jam 3 pagi Selasa lalu, kaunter aduan Balai Polis Nilai telah menerima aduan daripada seorang lelaki warga India memaklumkan mengenai kejadian disamun.
"Ketika pengadu berada di rumah bersama-sama tiga lagi rakan berusia 27 hingga 41 tahun yang terletak di sebuah taman perumahan di Nilai tiba-tiba didatangi empat lelaki yang bersenjata sebilah parang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, suspek dipercayai meminta pengadu untuk menyerahkan barang peribadi milik pengadu dan melarikan telefon bimbit serta beberapa barangan lain yang dianggarkan bernilai RM10,600.
Ujarnya, hasil maklumat yang diperolehi, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Nilai berjaya menangkap lima suspek yang disyaki terbabit dalam kes ini.
"Kami juga merampas beberapa barang yang dipercayai digunakan ketika kejadian. Kesemua barang milik pengadu juga ditemui semula dalam serbuan yang dilakukan.
"Empat suspek direman tujuh hari bermula semalam(Rabu) sehingga 19 Disember depan manakala seorang lagi suspek direman selama empat hari mulai hari ini(Khamis) hingga 17 Disember," katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!