Bekas ADUN akhirnya hadir mahkamah, akui bernikah
SEREMBAN - Selepas dua kali gagal hadir membuat pengesahan nikah dengan bekas isteri kedua yang dilangsungkan pada 27 Julai lalu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang akhirnya hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Khamis.
Bekas isteri Noor Azmi Yusof, Norhaya Ramli, 50, ketika ditemui di luar mahkamah memaklumkan bahawa bekas suaminya itu mengaku kepada hakim bahawa pernikahan mereka telah dilangsungkan pada 27 Julai lalu di sebuah hotel di Seremban.
"Saya lega kerana dia akhirnya hadir selepas cuba mengelak beberapa kali.
"Saya hanya mahu kerjasama daripadanya saja untuk mengesahkan pernikahan kami.
"Lagipun dia telah ceraikan saya melalui WhatsApp pada 17 Ogos lalu," katanya.
Dalam masa sama, Norhaya berharap bekas suaminya itu terus memberi kerjasama untuk hadir pada 22 Januari depan bagi keputusan pengesahan nikah mereka.
Terdahulu, hakim Ruzita Ramli mempersoalkan peguam Asmawi Ismail yang mewakili Noor Azmi berikutan tiada kelibat anak guamnya pada prosiding berlangsung pada pagi Khamis.
Asmawi sebelum itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya baru pulang dari menunaikan umrah.
Ruzita terpaksa menangguhkan prosiding kira-kira 15 minit menegaskan mahu responden hadir tanpa sebarang alasan bagi membolehkan kes itu dijalankan.
"Saya dah arahkan waran tangkapkan. Hari ini perlu hadir. Saya dah arahkan hadir, perlu hadir.
"Saya tidak mahu dengar alasan. Jadi dia hadir atau tidak?
"Kenapa peguam tidak pastikan dia hadir bersama-sama peguam?" katanya.
Beliau turut menegaskan mahu prosiding kes itu berlangsung hari ini dan tidak ditangguhkan lagi kerana ia membuang masa mahkamah dan pihak-pihak lain.
Asmawi kemudiannya memberitahu mahkamah anak guamnya hadir, namun meminta prosiding ditangguhkan 15 minit.
Sementara itu, pada prosiding yang bersambung jam 11 pagi, Noor Azmi meminta mahkamah menjalankan kes itu secara tertutup.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!