Kilang pembuatan kenderaan tenaga baharu di Chembong

Aminuddin ketika mencuba sebuah kereta NETA sebaik selesai perasmian program pembukaan Careplus Mall pada Khamis.
Aminuddin ketika mencuba sebuah kereta NETA sebaik selesai perasmian program pembukaan Careplus Mall pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah kilang pembuatan dan pemasangan kenderaan tenaga baharu (NEV) bakal dibangunkan di kawasan perindustrian Chembong, Rembau.

Pembinaan kilang oleh Kumpulan GoAuto dan Careplus Group Berhad (Careplus) menerusi syarikat usaha sama (JV), NexV Manufacturing Sdn Bhd akan dilakukan secara berperingkat bermula tahun depan sehingga 2028.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, usaha dua syarikat terbabit dalam pembinaan kilang pembuatan dan pemasangan kenderaan tenaga baharu dapat merancakkan ekonomi negeri ini terutamanya dalam membuka peluang pekerjaan kepada 400 anak tempatan dalam bidang kemahiran.

"Negeri Sembilan adalah negeri pertama di negara ini dalam pemasangan EV dengan terbinanya kilang tersebut saya juga berharap masyarakat dapat menerima kenderaan ini sebagai satu kenderaan masa hadapan yang baik.

"Inilah teknologi baharu perlu diterokai dari semasa ke semasa " katanya yang turut merasmikan majlis pembukaan Careplus Mall pada Khamis.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Go Auto, Datuk SM Azli SM Nasimuddin Kamal berkata, kilang seluas 29.68 hektar (73.34 ekar) itu akan memasang kenderaan jenama produk sendiri iaitu NETA serta turut membuka platform kepada jenama kenderaan elektrik (EV) lain yang berhasrat untuk melakukan pemasangan tempatan atau CKD.

Menurutnya, anggaran keseluruhan nilai pembangunan kasar (GDV) projek pembangunan kilang pembuatan dan pemasangan tersebut berserta vendor berjumlah kira-kira RM600 juta.

"Fasa pertama projek ini akan melibatkan pembangunan Assembly Plant akan dimulakan pada suku pertama tahun depan, manakala fasa kedua dan ketiga bermula pada 2026 dan 2028.

Artikel Berkaitan:

"Produk pertama bakal dikeluarkan oleh kilang ini adalah model NETA V pada suku pertama tahun 2025," katanya.

Careplus Mall dibangunkan bagi menyediakan rangkaian kenderaan elektrik berserta stesen pengecasan pantas, pusat latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) penyelesaian panel solar bagi kegunaan rumah dan komersial serta kemudahan bersukan.

Dalam pada itu, SM Azli percaya dengan sokongan diberikan oleh syarikat prinsipal dari China, iaitu memiliki barisan produk dan teknologi kenderaan elektrik terkini mampu menjadikan pihaknya sebagai peneraju kenderaan elektrik di rantau ini.

"Projek ini dapat menarik minat pembekal komponen automotif sedia ada dan baharu serta pelabur dari dalam dan luar negara untuk merancakkan lagi industri automotif EV sekali gus membuka peluang pekerjaan dan rantaian perniagaan bagi memenuhi ekosistem yang dibina.

"Selari dengan hasrat dan komitmen berterusan pihak kerajaan untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon dan meningkatkan EV, kami berazam menjadi antara perintis kepada revolusi industri teknologi hijau terutamanya EV di dalam negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!