Hukuman jel, sebat insafkan bekas pengurus kilang

Gimik Faizal digari oleh pegawai penjara di akhir perkongsian pengalamannya menjalani hukuman penjara mengundang rasa sebak audien yang melihat.
Gimik Faizal digari oleh pegawai penjara di akhir perkongsian pengalamannya menjalani hukuman penjara mengundang rasa sebak audien yang melihat.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang bekas pengurus kilang mengakui hukuman penjara dan sebatan yang dikenakan ke atasnya akibat melakukan pecah amanah membabitkan nilai RM18 juta benar-benar menginsafkan dirinya.

Keinsafan berkenaan turut menjentik hati bapa empat anak yang merupakan banduan atau Orang Diselia (ODS) dari Penjara Sungai Buloh itu untuk berkongsi sisi gelap kehidupan di balik tirai besi.

Dia yang kenali sebagai Faizal, 46, berkata, kehidupan di penjara hanya bertemankan nyamuk, dinding berlapis-lapis dan terasing dari dunia luar.

"Hidup saya sangat suram, saya tak dapat dengar hujan dan tidak dapat lihat mentari pagi.

"Dua sebatan yang hinggap di badan saya pula sangat menyakitkan namun saya ingat kata-kata pegawai penjara. Dia kata 'Faizal...sakit kena sebat ini akan hilang, tapi rasa insafnya tak akan hilang sampai bila-bila'," katanya.

Dia berkata demikian ketika berkongsi pengalamannya menjalani hukuman akibat kesalahan pecah amanah dan rasuah sempena Program Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) Rasuah Busters 2023 di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.

Perkongsiannya turut menyentuh hati kira-kira 200 pengunjung yang mengikuti slot berkenaan yang dikendalikan Jabatan Penjara.

Audien tersentuh hati mendengar perkongsian Faizal. - Foto SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN
Audien tersentuh hati mendengar perkongsian Faizal. - Foto SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN

Artikel Berkaitan:

Ketika ini Faizal sedang menghabiskan baki hukuman penjara selama lima tahun setengah yang dijatuhkan ke atasnya pada 2020 dan dijangka dibebaskan pada 2025.

Faizal memberitahu, dia jatuh ketika sedang berada di puncak (pegang jawatan tinggi) hingga tidak dapat lagi berada di sisi isteri dan anak-anak yang masih kecil serta memerlukan kasih sayang seorang bapa.

Faizal berkongsi mengenai kehidupan suram di dalam penjara yang dilaluinya sejak 2020 pada program HARA Rasuah Busters 2023 di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Khamis. - Foto SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN
Faizal berkongsi mengenai kehidupan suram di dalam penjara yang dilaluinya sejak 2020 pada program HARA Rasuah Busters 2023 di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Khamis. - Foto SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN

"Pada hari keputusan kes saya mahu diumumkan sebelum ini, saya sempat berhubung menerusi telefon dengan anak ketiga saya dan dia minta saya ambilnya di sekolah.

"Saya kata padanya saya akan ambilnya namun sampai hari ini, iaitu selepas tiga tahun saya masih tak dapat tunaikan janji saya itu (ekoran dimasukkan ke penjara)," ujarnya sebak.

Justeru, Faizal mengingatkan orang ramai agar tidak membiarkan diri dikawal hawa nafsu, tidak amanah dan terlibat dengan rasuah kerana kesannya cukup buruk hingga menghancurkan hidup.

"Kita jadi begini sebab tak ada rasa syukur, orang ada kereta besar kita pun nak naik kereta besar, orang nak naik kapal terbang kita pun nak.

"Jadi diharapkan kisah saya ini dapat menjadi pengajaran kepada semua agar jangan terjebak dengan najis rasuah, biarlah hanya saya sahaja yang lakukan kesilapan ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!