Kes bunuh Kevin Morais: Keputusan rayuan enam lelaki, 14 Mac tahun depan

Keputusan kes pembunuhan Kevin Morias akan diketahui pada jam 9 pagi 14 Mac 2024
Keputusan kes pembunuhan Kevin Morias akan diketahui pada jam 9 pagi 14 Mac 2024
A
A
A

PUTRAJAYA - Keputusan rayuan enam lelaki yang dihukum gantung kerana membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais akan diputuskan Mahkamah Rayuan di sini pada 14 Mac tahun depan.

Enam lelaki selaku perayu pertama hingga keenam itu ialah bekas pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 60; pemberi pinjaman wang, S Ravi Chanran, 52, dan empat penganggur, R Dinishwaran, 31; A K Thinesh Kumar, 30; M Vishwanath, 33 serta S Nimalan, 30.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar hujahan daripada pihak perayu dan pendakwaan selaku responden.

"Keputusan akan diketahui pada jam 9 pagi, 14 Mac 2024,” kata Hadhariah pada Selasa iaitu hari ketiga prosiding pendengaran itu bermula pada 4 dan 7 Disember lalu.

Dalam prosiding ini, Dinishwaran diwakili peguam, M Manoharan manakala peguam-peguam lain iaitu Datuk N Sivananthan hadir bagi mewakili Kunaseegaran, Burhanudeen Abdul Wahid (Thinesh Kumar), Afifuddin Ahmad Hafifi (Vishwanath), Amer Hamzah Arshad (Nimalan) dan Kitson Foong (Ravi).

Sementara pihak responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, Mohd Fairuz Johari dan Mohd Fuad Abdul Aziz.

Keenam-enam lelaki itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Julai 2020 yang mensabit dan menghukum mereka dengan hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Kevin.

Mereka dituduh membunuh timbalan pendakwa raya itu ketika dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya ke Nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) berpuas hati dengan bukti penemuan sarung tangan yang mengandungi kesan darah milik Kevin dalam kereta Mitsubishi Triton (milik tertuduh) yang digunakan untuk melanggar kenderaan yang dipandu mendiang.

Ia termasuk penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) mendiang pada baju-T hitam milik salah seorang tertuduh.

Kevin yang dilaporkan hilang pada 4 September 2015, sebelum itu dilihat meninggalkan kondominiumnya di Menara Duta di sini dengan menaiki kereta Proton Perdana.

Mayatnya ditemukan di dalam tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September 2015.

Pada 18 November 2016, hakim berkenaan meninjau sebuah paya di USJ 1, Persiaran Subang Mewah Subang Jaya iaitu tempat tong dram berisi mayat mangsa ditemukan.

Dua hari sebelum itu (16 November), hakim itu bersama pasukan pendakwaan, pembelaan dan semua tertuduh meninjau tiga lokasi di Hutan Melintang, Perak yang mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan itu.

Tiga lokasi itu ialah Balai Polis Hutan Melintang yang menyimpan rangka kereta terbakar milik mangsa, lokasi kereta ditemukan di ladang sawit Sungai Samak dan lokasi mesin pencanai, jam tangan, beg, duit serta cincin milik mangsa yang ditemukan di sebuah sungai di Kuala Selangor, Selangor.

Pada 17 April 2018, mahkamah turut meninjau kediaman mangsa di Kondominium Menara Duta, Jalan Dutamas Raya, di sini, tempat beliau dilaporkan diculik pada 4 September 2015.

Semasa prosiding rayuan terhadap hukuman mati atas sabitan kesalahan membunuh Kevin, Mohd Dusuki menghujahkan, dapatan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkan enam pesalah atas pertuduhan dan menjatuhkan hukuman mati, adalah tepat.

Beliau berkata, dapatan itu betul apabila mengatakan pembelaan yang dibangkitkan oleh perayu-perayu ini, gagal menimbulkan sebarang keraguan terhadap kes.

Menurutnya, penafian perayu berhubung fakta kes juga, hanyalah suatu penafian kosong yang tidak disokong oleh keterangan.

“Pembelaan bersifat ‘bare denial’ yang dikemukakan nyata gagal menjawab fakta-fakta yang mengaitkan mereka dengan pembunuhan itu.

“Selain itu, ia selaras dengan kegagalan perayu pertama (Kunaseegaran) mengakas isu motif pembunuhan,” katanya.

Mohd Dusuki berkata, mangsa telah menimbulkan kemarahan perayu pertama kerana menambah pertuduhan di Mahkamah.

Menurutnya, jelas sekali motif pembunuhan adalah disebabkan perasaan tidak puas hati dan ia dikuatkan lagi dengan keterangan saksi pendakwaan ke-46, yang menyatakan tertuduh seperti jijik terhadap si mati ketika pertuduhan tambahan dibacakan.

Katanya, keterangan perayu ketujuh (Ravi) dan seorang saksi lain, telah menguatkan lagi fakta penglibatan tertuduh pertama, biarpun dia tidak berada di lokasi kejadian.

“Justeru, berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan bagi ini, kami menghujahkan bahawa dapatan hakim mahkamah tinggi adalah betul apabila mengatakan pembelaan yang dibangkitkan oleh perayu-perayu ini, gagal menimbulkan sebarang keraguan terhadap kes pendakwaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!