ADUN pembangkang keluar duit poket sendiri baik pulih jalan rosak
KUALA SELANGOR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin mengeluarkan 'duit poket' peribadi bagi membaik pulih jalan rosak dan berlubang di Jalan Salikin Tanjong Karang.
Mohd Zamri berkata, inisiatif itu diambil bagi memudahkan urusan penduduk yang melalui jalan itu pada setiap hari.
"Jalan Salikin menghubungkan Jalan Haji Kamaruddin dan Jalan Pinang 1 sudah beberapa bulan rosak dan berlubang.
"Memandangkan cuaca ketika ini kerap hujan, jalan yang kerap dilalui kenderaan ringan dan berat ini adalah paling dekat menghubungkan kampung bersebelahan," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Beliau yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Tanjong Karang memberitahu, jalan itu juga digunakan penduduk di beberapa rumah berdekatan dan pemilik inap desa.
"Kerja-kerja membaik pulih jalan ini diharap dapat dimanfaatkan penduduk sementara menunggu peruntukan daripada PLB (pembangunan luar bandar) tahun depan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!