JWC: Young Tigers cari formula jinakkan New Zealand

Harris mengawal bola dari pemain Belgium pada perlawanan Klasifikasi 9-12 Hoki Piala Dunia Remaja 2023 Malaysia menentang Belgium di Stadium Hoki Nasional pada Rabu. Foto Bernama
Harris mengawal bola dari pemain Belgium pada perlawanan Klasifikasi 9-12 Hoki Piala Dunia Remaja 2023 Malaysia menentang Belgium di Stadium Hoki Nasional pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

SKUAD Young Tigers mencari formula untuk mengalahkan New Zeland dalam usaha melunaskan misi sekurang-kurangnya meraih tempat ke-11 pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki (JWC) 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, esok.

Pengendali skuad remaja kebangsaan, Muhamad Amin Rahim berkata, barisan kejurulatihan akan meneliti perlawanan membabitkan skuad bimbingan Aaron Ford itu yang pernah ditemui ketika saingan Piala Sultan Johor (SOJC) yang lepas untuk melihat corak permainan sebelum menentukan formula bagi perlawanan Jumaat ini.

"Young Tigers pernah berjumpa New Zealand ketika SOJC dan kita akan lihat apa perbezaan antara SOJC dan JWC, serta cari formula berbeza untuk hari Jumaat ini supaya dapat mengakhiri kempen ini dengan kemenangan.

"Saya percaya dengan potensi anak buah saya, kalau kita buat benda betul kita boleh menang. Apa yang ditampilkan mereka semalam dari segi sikap dan disiplin akan dikekalkan,” katanya kepada pemberita.

Young Tigers mengalami kekecewaan berganda apabila terlepas dua sasaran, iaitu ke suku akhir selepas gagal menduduki kelompok dua teratas Kumpulan A, serta gagal menamatkan saingan di tempat kesembilan apabila tewas kepada Belgium 3-5 dalam penentuan penalti selepas terikat 2-2, semalam.

Berdsarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan, Malaysia telah memenangi lima perlawanan manakala New Zealand meraih tujuh kemenangan, selain tiga kali berakhir dengan keputusan seri.

Sementara itu, penyerang Young Tigers, Mohammad Harris Iskandar Osman tetap gairah untuk memburu lebih banyak jaringan ketika perlawanan menentang New Zealand, esok.

"Ketika aksi bertemu Belgium semalam saya tidak bagi yang terbaik, ada peluang yang saya tak tukar kepada jaringan, jadi saya rasa tidak berpuas hati dengan persembahan saya. Sepatutnya boleh bantu pasukan dapatkan lebih jaringan.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, Mohammad Harris merupakan penjaring terbanyak bagi skuad negara dengan tiga gol, termasuk menyempurnakan pukulan penalti pada aksi berdepan Belgium semalam. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!