SFMM38: Ernie Zakri nafi tarik diri, terma perbincangan belum selesai jadi punca

Ernie Zakri nafi tarik diri daripada membawakan lagu itu di Semi Final Muzik Muzik ke-38.
Ernie Zakri nafi tarik diri daripada membawakan lagu itu di Semi Final Muzik Muzik ke-38.
A
A
A

PENYANYI dan pencipta lagu Astana, Ernie Zakri menafikan dakwaan dia menarik diri daripada membawakan lagu itu di Semi Final Muzik Muzik ke-38 (SFMM38) yang bakal berlangsung hujung minggu ini.

Bagaimanapun beberapa terma dan syarat pencalonan lagu dalam program itu telah menjadi penghalang.

"Saya adalah penyanyi asal dan komposer lagu ini. Sudah tentu saya nak menyanyikan lagu ini. Malah, tidak pernah cakap saya tak nak nyanyi atau tarik diri.

"Namun disebabkan terdapat beberapa terma perbincangan yang belum selesai antara pihak RIM (Persatuan Industri Rakaman Malaysia) dan MPB (Media Prima Berhad), ia menjadi penghalang untuk saya mempersembahkan lagu ini pada SFMM38," katanya dalam satu kenyataan

Sebelum ini, pengumuman Nadeera Zaini yang bakal mengganti Ernie untuk membawa lagu Astana di SFMM38 mengejutkan ramai pihak.

Syarikat rakaman lagu itu, Rockeutful Entertainment dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan Ernie menarik diri untuk membawakan Astana yang dicipta bersama Omar K, Syamel dan Syazriq Azeman.

Sementara itu, RIM dan Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) dalam kenyataan berkata, mereka masih dalam rundingan dengan Media Prima mengenai terma dan syarat pencalonan lagu dalam program yang disiarkan di TV3 itu.

Pengerusinya, Rosmin Hashim berkata, sesi dialog sudah dibuat membabitkan semua pihak sejak Ogos lalu namun tidak dapat mencapai penyelesaian yang memuaskan.

Artikel Berkaitan:

“Banyak ahli kami yang terdiri dari syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa tidak mencalonkan rakaman lagu artis mereka dalam program Muzik Muzik tahun ini kerana tidak bersetuju dengan klausa tertentu dalam borang pencalonan lagu program itu.

"Kami sudah mengadakan sesi dialog bersama pihak pengurusan tertinggi Media Prima mengenai perkara ini pada awal Ogos tahun ini dan sudah mengetengahkan klausa bermasalah dalam borang pencalonan tersebut buat perhatian mereka.

"Bagaimanapun sehingga kini, kami masih belum dapat penyelesaian yang memuaskan sepenuhnya berhubung perkara ini dan berharap dapat mencapainya dengan segera untuk klausa dan isu berkenaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!