Bekas ADUN Teluk Bahang mahu saman kerajaan Pulau Pinang

Zolkifly
Zolkifly
A
A
A

GEORGE TOWN - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Bahang, Zolkifly Md Lazim akan menfailkan saman terhadap kerajaan Pulau Pinang dan Speaker Dewan Undangan Negeri.

Tindakan itu diambil selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membuat keputusan berkenaan status wakil rakyatnya yang dikekalkan dan tidak kehilangan kerusi kerana peruntukan anti-lompat parti negeri tidak terpakai ke atas beliau.

Bekas ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, perkara itu sedang diteliti oleh peguamnya berikutan tindakan yang diambil terhadap dirinya yang dikatakan melanggar undang-undang anti-lompat parti negeri.

Menurutnya, beliau bersama tiga ADUN Perikatan Nasional lain disingkirkan sebagai ahli DUN pada 6 Mac lalu susulan usul yang dibuat mengikut undang-undang anti-lompat parti negeri.

"Sejak itu saya kehilangan segala kemudahan yang disediakan kerajaan, senjata api saya dirampas selain berdepan dengan pelbagai kecaman.

"Malah semasa sidang DUN saya dimalukan dituduh sebagai ‘katak lompat’, namun akhirnya semua telah terbukti yang saya berada di pihak yang benar selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membuat keputusan baru-baru ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Pada 8 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan dua bekas ADUN Bersatu tidak kehilangan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana peruntukan anti-lompat parti negeri tidak terpakai ke atas mereka.

Memetik laporan sebuah portal, Hakim Anand Ponnudurai berkata, Khaliq Mehtab Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Lazim (Teluk Bahang) kekal sebagai wakil rakyat dalam tempoh antara Mei 2018 dan Jun tahun ini, serta berhak mendapat semua bayaran kewangan yang perlu dibayar kepada mereka bagi tempoh sehingga DUN dibubarkan ketika itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam keputusan yang disampaikan secara dalam talian, Anand menjelaskan penggunaan lambang PKR tidak bermaksud kedua-dua mereka ahli parti itu, dan mereka juga tidak pernah meninggalkan Bersatu. Maka, Perkara 14A Perlembagaan Pulau Pinang tidak terpakai ke atas mereka.

Mahkamah bagaimanapun menolak hujah serupa dalam hal Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh) dan Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), kerana Perkara 14A terpakai ke atas mereka.

Anand berkata mereka itu sememangnya ahli PKR.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!