Polis buru lelaki bertopi keledar curi pakaian dalam

Polis giat buru lelaki yang mencuri pakaian dalam dan kasut di sebuah rumah di Banting, pada Selasa. - Foto tular media sosial
Polis giat buru lelaki yang mencuri pakaian dalam dan kasut di sebuah rumah di Banting, pada Selasa. - Foto tular media sosial
A
A
A

BANTING - Polis giat mengesan seorang lelaki dipercayai mencuri pakaian dalam di sebuah rumah di sini, kira-kira jam 2.50 pagi pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, satu laporan polis telah diterima pihaknya pada jam 8.37 malam, hari yang sama daripada penghuni rumah terbabit.

Menurutnya, pengadu merupakan wanita berusia 32 tahun menyatakan sepasang kasut jenama Puma dan sehelai baju dalam milik ibunya telah diambil seorang lelaki bertopi keledar tidak dikenali.

"Ekoran itu, satu kertas siasatan dibuka untuk menyiasat kes terbabit.

"Usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes itu disiasat bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Tambahnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan atau hubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222.

Sebelum itu, kejadian terbabit telah tular di media sosial menerusi satu rakaman video berdurasi 55 saat memaparkan perbuatan lelaki terbabit yang memakai seluar pendek dan bertopi keledar memanjat tembok rumah terbabit.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah tersebut, lelaki terbabit kemudian dilihat telah mengambil pakaian dan kasut di rumah berkenaan.

@sinarharianonline Polis giat mengesan seorang lelaki dipercayai mencuri pakaian dalam di sebuah rumah dekat Banting kira-kira jam 2.50 pagi pada Selasa. Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, satu laporan polis telah diterima pihaknya pada jam 8.37 malam, hari yang sama daripada penghuni rumah terbabit. Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/639697/berita/semasa/polis-buru-lelaki-bertopi-keledar-curi-pakaian-dalam #SinarHarian #SinarTerkini #VideoViral #PakaianDalam #fyp original sound - Sinar Harian