HARA 2023 #RasuahBusters menyentuh hati, tinggalkan impak mendalam
SHAH ALAM - Penganjuran Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) #RasuahBusters 2023 bukan sahaja berjaya memupuk kesedaran bahkan menyentuh hati orang awam menerusi perkongsian daripada gabungan rakan sinergi dan pemegang taruh di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berkata, rangkuman aktiviti sepanjang HARA dilihat cukup meninggalkan impak mendalam kepada pengunjung, lebih-lebih lagi perkongsian daripada banduan atau Orang Diselia (ODS) dari Penjara Sungai Buloh.
Menurutnya lagi, penglibatan pemegang taruh seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Institut Integriti Malaysia (IIM), SIRIM Berhad (SIRIM) dan Jabatan Penjara Malaysia mampu menyuntik nilai integriti dalam diri orang awam menerusi pameran serta aktiviti disediakan.
“Badan bukan kerajaan seperti C4 Center, Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan sebagainya turut berkongsi bagaimana cabaran atau jalan penyelesaian untuk menangani isu integriti serta rasuah.
“Ada juga persembahan pelajar tadika swasta menyanyikan ‘Free Palestine’ sambil mengenakan pakaian tradisional, ia memaparkan semangat patriotik dan simbolik keutuhan kemanusiaan yang perlu dibina dalam kalangan masyarakat.
“Kita ada pantonim, teater pendek dan apresiasi puisi, semuanya mempunyai makna luar biasa, inilah ekspresi melawan rasuah yang sebenarnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
HARA 2023 merupakan inisiatif memberi pendidikan antirasuah kepada masyarakat menerusi kerjasama gabungan #RasuahBusters yang berlangsung selama dua hari dari 13 hingga 14 Disember bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf.
Terdapat beberapa aktiviti khas yang disediakan termasuk pameran daripada pelbagai agensi seperti SME Integrity Talk, Wacana Khas, Apresiasi Puisi Anti Rasuah, Kompas Rasuah Busters dan Bicara Bina Negara.
Ditanya mengenai sambutan yang diterima, Nurhayati memaklumkan, pihaknya berpuas hati dengan komitmen tinggi yang ditunjukkan orang awam terhadap penganjuran sulung program berkenaan dalam memerangi rasuah mengikut kemampuan kapasiti masing-masing.
“Kaedah menangani isu rasuah tidak semestinya ceramah sahaja, ia perlulah sesuatu yang menyentuh hati orang ramai.
“Justeru, kita nak tengok masyarakat kembali kepada nilai moral karakter bangsa yang sebenar tanpa mengira agama untuk diri, komuniti dan negara, insya-ALLAH,” ujarnya.
Jelasnya lagi, perancangan #RasuahBusters pada masa hadapan diharapkan dapat melibatkan lebih ramai rakan kolaboratif dan secara serius mengangkat Disember sebagai bulan antirasuah di negara ini.
“Refleksi diri, keluarkan segala budaya rasuah pada bulan ini (Disember) dan mula melangkah ke tahun baharu dengan semangat, impian serta cita-cita baharu,” kata Nurhayati.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!