Perjuangan terakhir Malaysia
SELEPAS dua sasaran gagal dicapai, Malaysia bertekad menoktahkan misi mereka pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 dengan keputusan positif.
Pertemuan menentang New Zealand dalam aksi klasifikasi ke-11/12 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini mahu ditutup dengan rentak kemenangan.
Pengendali Malaysia, Muhamad Amin Rahim berkata, beliau mahu The Young Tigers fokus bagi memastikan mereka mengakhiri edisi kali ini di tangga ke-11.
“Kita pernah bermain dengan New Zealand ketika Piala Sultan Johor (pada Oktober lalu). Jadi kita akan cari formula terbaik untuk memastikan pasukan kita keluar sebagai pemenang.
“Sebelum ini kita gagal untuk mencapai sasaran ke suku akhir dan kita juga gagal untuk berada di kedudukan kesembilan. Sekarang kedudukan paling tinggi yang boleh kita raih adalah ke-11.
“Jadi, saya mahu pemain-pemain memberikan semua yang mereka ada dan menampilkan persembahan terbaik untuk memastikan kita keluar sebagai pemenang,” kata Muhamad Amin.
Pada Rabu, Young Tigers tewas 3-5 menerusi penalti shoot-out di tangan Belgium dalam perlawanan klasifikasi kesembilan hingga ke-12, sekali gus kempunan mencapai sasaran penamat tempat kesembilan.
Sebelum itu, Malaysia gagal menepati sasaran awal layak ke suku akhir selepas sekadar menamatkan saingan Kumpulan A di tempat ketiga di belakang Argentina dan Australia.
Dalam pada itu, Muhammad Amin sekali lagi mengingatkan anak-anak buahnya tidak mensia-siakan sebarang peluang terhidang termasuk pukulan sudut penalti apabila berdepan New Zealand.
“Kita ada satu lagi perlawanan. Jadi saya harap peratusan untuk kita menyudahkan pukulan sudut penalti akan meningkat apabila menentang New Zealand nanti.
“Jika pemain melakukan tugas dengan betul, saya rasa kita boleh atasi mana-mana pasukan sepertimana yang dibuktikan apabila bertemu Belgium,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!