Nyawa Gaza di hujung tanduk
GENEVA - Ketua agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Palestin (UNRWA) memberi amaran bahawa nyawa penduduk Gaza di hujung tanduk ketika tentera Israel berterusan mengebom orang awam walaupun mendapat kecaman pihak antarabangsa.
“Mereka berdepan pengeboman, kebuluran dan penyakit dalam ‘ruang semakin sempit’,” kata Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini semasa Forum Pelarian Global di Geneva, Switzerland pada Rabu.
Lazzarini turut menggambarkan situasi di Gaza tidak ubah seperti ‘neraka di bumi’.
Tambahnya, penduduk di wilayah Palestin berdepan babak paling gelap dalam sejarah mereka sejak tahun 1948 dan ia paling memeritkan.
Konflik Israel-Palestin yang memasuki bulan ketiga sejak 7 Oktober lalu kini menyaksikan seramai 18,608 penduduk Gaza dilaporkan terbunuh dan 50,594 lagi cedera.
PBB menganggarkan lebih 1.9 juta daripada 2.4 juta penduduk Gaza telah kehilangan tempat tinggal dan menerima barangan bantuan kemanusiaan daripada 100 trak setiap hari.
“Kami belum mendapat bantuan kemanusiaan secukupnya,” kata Lazzarini.
Beliau berkata, apabila bantuan diberikan, ia seperti tidak mencukupi untuk keluarga mangsa.
Menurutnya, penduduk Gaza terdesak apabila sanggup menahan trak bantuan dan makan makanan tersebut pada masa itu juga.
“Ia tidak realistik apabila memikirkan orang biasa tidak mampu bertahan dalam dugaan hebat ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pelarian PBB, Filippo Grandi turut memberi amaran mengenai bahaya perpindahan besar-besaran penduduk keluar dari Gaza.
Menurutnya, tindakan penghijrahan besar-besaran akan menggugat kestabilan negara jiran seperti Mesir terutamanya di wilayah Sinai.
“Adalah penting bahawa sebarang pemindahan orang keluar dari wilayah yang musnah adalah ‘tidak dipaksa’ dan mereka berhak melakukan penghijrahan tersebut.
“Sejak penduduk Gaza dibom dan berdepan situasi sukar, gencatan senjata adalah satu-satunya jalan keluar daripada konflik ini,” katanya. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!