Apabila pelarian dah naik tocang
“JANGAN biarkan mereka berbuat sesuka hati di Indonesia, kita harus belajar dari tetangga di Malaysia.”
Itu antara luahan rasa rakyat Indonesia di media sosial yang membantah kehadiran pelarian Rohingya ke negara itu yang dilihat semakin tidak terkawal.
Mana tidaknya, sejak November lalu, lebih 1,200 etnik Rohingya dilaporkan mendarat ke negara itu dan menurut data daripada Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCHR) sekurang-kurangnya ketibaan terbaharu 300 orang lagi pada hujung minggu lalu.
Kadaan itu telah menimbulkan suasana tegang dalam kalangan penduduk yang membuat bantahan.
Malah ada yang bertindak lebih keras apabila mengalihkan khemah yang didirikan sebagai tempat perlindungan sementara bagi etnik terbabit selain mengancam untuk menolak bot mereka kembali ke laut.
Memetik laporan media Indonesia (ANTARA), seorang penduduk Kampung Ladong di Aceh Besar Armansyah berkata, dia dan penduduk kampung lain mengadakan bantahan terhadap penempatan pelarian di pusat perlindungan terbabit berikutan pengalaman buruk pernah dialami bersama kumpulan pelarian sebelum ini.
Ujarnya, jika kali pertama mereka menyambut gelombang pertama pelarian tersebut dengan tangan terbuka, tetapi ramai yang berkelakuan buruk sehingga mengganggu penduduk setempat selain ada yang bertindak melarikan diri dari pusat perlindungan.
Keadaan itu jelas menunjukkan sikap etnik itu sendiri yang mengundang rasa kebencian ramai.
Siapa yang tak marah, bila ‘tetamu’ yang datang ke rumah tanpa diundang kemudiannya bersikap kurang ajar.
Persepsi negatif terhadap mereka bukan direka cipta tetapi disebabkan tingkah laku mereka sendiri.
Ia samalah halnya yang berlaku di negara kita yang mana munculnya etnik tersebut mencari perlindungan ke negara ini pada awalnya disambut dengan rasa simpati oleh rakyat Malaysia.
Namun selepas dibenarkan tinggal atas dasar kemanusiaan, mereka mula naik tocang dan seolah-olah mahu menjadi tuan di negara ini serta menuntut hak seperti mereka adalah warganegara.
Selain itu gaya hidup mereka yang tidak tahu mengamalkan kebersihan turut menambah rasa ‘sesak’ terhadap keberadaan etnik tersebut.
Jika diimbas, etnik ini pernah merusuh ketika ditahan di Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap Kedah, tahun lalu dan mula besar kepala apabila menuntut tanah daripada kerajaan sebagai hak mereka.
Malah sebelum ini juga pernah tular video seorang lelaki dipercayai warga Rohingya yang meminta hak sama rata dengan rakyat tempatan kerana berpandangan mereka juga menyumbang kepada ekonomi negara.
Namun tidak dapat dipastikan identiti sebenar lelaki tersebut dan tarikh video itu diambil.
Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhom), Zafar Ahmad Abdul Ghani menegaskan kehadiran pelarian Rohingya ke Malaysia bukanlah untuk mengancam atau merampas hak rakyat di negara ini.
Sebaliknya katanya, mereka adalah mangsa perang yang terpaksa melarikan diri dari negara asal Myanmar bagi mencari perlindungan di Malaysia.
Semua pihak bukannya tidak bersimpati dengan nasib mereka, tapi penat melayan sikap etnik ini yang tak reti nak kenang budi.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Pelarian(UNCHR), terdapat 182,990 pelarian dan pemohon suaka di Malaysia dari 59 negara setakat Disember tahun lalu.
Daripada jumlah itu, majoritinya etnik Rohingya, Myanmar iaitu 106,129 orang.
Itu angka yang diperoleh bagi mereka yang berdaftar dengan UNHCR, bagaimana pula yang tidak berdaftar, menyelinap dan memasuki Malaysia?
Hakikatnya, kebanjiran pelarian ini jika tidak ditangani segera boleh menimbulkan konflik yang teruk kepada negara.
* Syamilah Zulkifli Ketua Wartawan Negeri Sembilan dan Melaka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!