Messi, Haaland finalis pemain terbaik FIFA, Ronaldo tersisih

Messi. - Foto AFP
Messi. - Foto AFP
A
A
A

LIONEL Messi dan Aitana Bonmati telah dinamakan sebagai finalis untuk anugerah Pemain Terbaik FIFA tahun ini oleh badan induk bola sepak dunia itu.

Messi telah dianugerahkan Ballon d'Or kelapan pada Oktober di Paris, manakala Bonmati menang bagi kategori wanita selepas membintangi Sepanyol dalam kejayaan Piala Dunia Wanita.

Erling Haaland dan Kylian Mbappe adalah calon lain untuk anugerah pemain terbaik lelaki FIFA, dengan rakan sepasukan Bonmati dari Sepanyol, Jenni Hermoso dan pemain sensasi remaja Colombia, Linda Caicedo turut disenaraikan dalam senarai pendek wanita.

Bagaimanapun, pemain Al-Nassr, Cristiano Ronaldo tidak berada dalam senarai finalist tersebut.

Majlis anugerah itu akan berlangsung di London pada 15 Januari.

Finalis lelaki dinamakan berdasarkan persembahan dari 19 Disember 2022 hingga 20 Ogos tahun ini manakala kategori wanita pula ditentukan berdasarkan pencapaian antara 1 Ogos 2022 dan 20 Ogos 2023, hari perlawanan akhir Piala Dunia.

Messi memenangi trofi pemain terbaik FIFA tahun lalu selepas membantu Argentina memenangi Piala Dunia.

Haaland, yang menduduki tempat kedua di belakang Messi dalam undian Ballon d’Or, menjaringkan 52 gol pada musim pertamanya di Manchester City pada musim lalu untuk membantu kelab Inggeris itu meraih treble Liga Perdana, Piala FA dan Liga Juara-Juara.

Artikel Berkaitan:

Penyerang Perancis Mbappe pula menjaringkan 41 gol dalam semua pertandingan untuk membantu Paris Saint-Germain memenangi Ligue 1.

Bonmati dan Hermoso kedua-duanya menjaringkan tiga gol dalam kejohanan itu ketika Sepanyol menjulang Piala Dunia Wanita buat kali pertama, manakala Bonmati juga memenangi Liga Juara-Juara Wanita bersama Barcelona musim lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!