KDN rancang buka Baitul Mahabbah di Sarawak, Kelantan

Saifuddin merasmikan Baitul Mahabbah Papar, di Kimanis pada Jumaat.
Saifuddin merasmikan Baitul Mahabbah Papar, di Kimanis pada Jumaat.
A
A
A

PAPAR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) merancang membuka dua lagi pusat Baitul Mahabbah di Sarawak dan Kelantan sebagai inisiatif menempatkan kanak-kanak warga asing di depot Imigresen.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pembukaan Baitul Mahabbah di kedua-dua negeri itu adalah susulan daripada pembukaan pusat tersebut di Negeri Sembilan pada 4 September lalu dan di Papar yang dilancarkan pada Jumaat.

Menurut Saifuddin, Baitul Mahabbah merupakan inisiatif terbaharu KDN untuk menempatkan kanak-kanak bersama penjaganya yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui operasi penguatkuasaan.

Katanya, terdapat 21 depot termasuk dua Baitul Mahabbah tersebut dengan kapasiti keseluruhan ialah sebanyak 20,000 namun ketika ini hanya sekitar 12,400 tahanan yang ditempatkan.

"Daripada kelompok 12,000 itu terdapat kategori kanak-kanak yang di bawah umur 18 tahun dengan bilangan kira-kira 1,400.

"Kalau premis asal depot itu keadaannya tentulah kurang kondusif untuk didiami oleh kanak-kanak, jadi dari sinilah lahirnya idea inisiatif KDN, Jabatan Imigresen bahagian yang berkenaan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) bahawa ada keperluan.

"Bukan sekadar keperluan tetapi keperluan mendesak untuk kita adakan satu premis penjagaan yang berasingan untuk memberikan kehidupan yang kondusif untuk kanak-kanak bagi kategori dari bayi sehingga ke 11 tahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Baitul Mahabbah Papar, di Kimanis pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh; Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Hazani Ghazali.

Artikel Berkaitan:

Tambah Saifuddin lagi, pada ucapan belanjawan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini turut diperuntukan dana sebanyak RM10 juta kepada KDN khusus untuk projek tersebut.

"Jadi akan ada dua lagi pembukaan iaitu di Tanah Merah, Kelantan dan Miri, Sarawak selepas dibuka di Nilai dan Papar ini sebagai permulaan kepada usaha ini.

"Di mana depot yang ada kehadiran kanak-kanak, di situlah sasar untuk asingkan dan kita akan cari premis yang lebih kondusif untuk mereka.

"Kita akan buat semakan untuk lihat keadaan sedia ada kalau perlu kita naik taraf kita laksanakan," katanya.

Beliau dalam pada itu menjelaskan bahawa tempoh kanak-kanak tersebut berada di dalam pusat itu bergantung kepada pemerolehan dokumen perjalanan yang disediakan oleh pihak kedutaan negara masing-masing.

"Lagi cepat mereka dapat, lagi cepat kita buat penghantaran pulang," katanya.

Sebelum itu, Baitul Mahabbah Papar menempatkan seramai 62 penghuni terdiri daripada 40 kanak-kanak bersama 22 penjaga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!