Palestin: Negara Arab terus menikus
Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang sekian lama menerima naungan ekonomi dan politik Amerika Syarikat seakan mendapat candu hingga buat-buat tidak sedar dengan apa yang berlaku ke atas Palestin
KETIKA perang Palestin-Israel kembali tercetus, masyarakat dunia kembali mengimbau perang Arab-Israel 1948, Perang Suez 1956, dan Perang Enam Hari 1967.
Kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin terus tiada noktahnya. Bilangan kematian rakyat Palestin kini menjengah 18,000 orang. Angka ini menyaksikan betapa dunia hilang perikemanusiaan apabila memberikan lesen pembunuhan terbuka kepada Israel tanpa sebarang sekatan yang boleh dilakukan.
Paling menghibakan apabila dua organisasi umat Islam iaitu Liga Negara-negara Arab dan Organization of Islamic Cooperation (OIC) yang patut membela dan menjadi talian hayat untuk rakyat Palestin hilang pedoman dan menunjukkan sudah kalah diawal lagi.
Liga Negara-negara Arab dan OIC dalam sidang tergempar 13 November 2023 tidak menemui kata putus, tiada sebarang sekatan yang dilakukan ke atas Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Walaupun resolusi dari persidangan itu nampak hebat, tetapi tindakan sangat lemah. Mereka meresolusikan bahawa, “Tidak mengambil sebarang tindakan dianggap sebagai bersubahat yang seakan membenarkan Israel untuk meneruskan serangan kejam yang membunuh orang tidak bersalah, kanak-kanak, warga emas dan wanita, serta menyebabkan Gaza musnah“.
Daripada persidangan itu, Arab Saudi, Jordan, Mesir, Qatar, Turkiye, Nigeria dan Indonesia diberi mandat paling minimum supaya gencatan senjata dilaksana secepat mungkin. Secara keseluruhannya kenyataan akhir mesyuarat itu mempunyai 31 desakan dan boleh dijadikan tanda aras tujuh negara diberi mandat.
Heret Netanyahu ke ICC
Komposisi tujuh negara Arab dan Islam ini dipilih bukan secara semberono, tetapi ada maksudnya. Arab Saudi dan Turkiye dianggap pemangkin penyatuan ummah, sementara Jordan dan Mesir dianggap sebagai barisan hadapan kerana terkesan secara langsung dalam konflik ini dan juga mempunyai hubungan diplomatik dengan Tel Aviv.
Satu daripada tugas paling kritikal ialah pengumpulan bukti perlakuan tentera Israel untuk dikemukakan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
ICC dilihat satu peluang bagi negara Arab untuk bertindak iaitu dengan membentuk suara di Statut Rome. Antara negara Liga Negara-negara Arab dan OIC yang menjadi ahli Statut Rome ialah Afghanistan, Albania, Bangladesh, Benin, Burkina Faso, Chad, Ivory Coast, Maldives, Mali, Niger, Nigeria, Palestin, Tunisia, Tajikistan dan Uganda.
ICC pernah mengeluarkan waran tangkap seperti yang dilakukan terhadap Presiden Vladimir Putin susulan aduan daripada Ukraine yang bukan ahli Statut Rome, tetapi setelah diperkuatkan dan dibantu oleh 43 negara ahli ICC lain, maka ICC membuat tindakan.
Suara Palestin sepatutnya lebih didengari kerana Palestin adalah ahli ICC, malah sokongan kuat negara Islam yang juga ahli ICC sepatutnya lebih terjamin untuk mengheret Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke ICC.
Seluruh negara Islam, sama ada anggota Liga Negara-negara Arab dan OIC perlu bersatu memanfaatkan peluang ini untuk mengheret pemimpin Israel ke ICC sebagai langkah menamatkan perang.
Namun, dalam tempoh kritikal ini sebaliknya pula berlaku apabila negara-negara Islam seperti Saudi Arabia, Bahrain, Emirate, dan Maghribi mengambil keputusan menolak usul penting, sebagaimana berikut:
“Usul-usul yang ditolak tersebut ialah penggunaan pangkalan ketenteraan untuk memasuki Israel, membekukan hubungan diplomatik, ekonomi, keamanan, dan ketenteraan dengan Israel, menyekat menggunakan minyak dan kemampuan ekonomi Arab untuk memberi tekanan agar menghentikan keganasan“.
Ketika resolusi persidangan tergempar Liga Negara-negara Arab dan OIC dilakukan, perang Palestin-Israel telah berlangsung selama sebulan apabila ia bermula semenjak 7 Oktober 2023.
Angka korban terus meningkat tetapi negara Islam khususnya negara Arab hanya mengeluarkan resolusi sahaja tanpa tindakan drastik. Mereka tidak menunjukkan sebarang simpati segera seakan dengan bijak mendiamkan isu itu agar boleh berlepas tangan.
Malah, segala resolusi di dalam persidangan itu setakat saat ini masih tidak berjaya dilakukan secara bersama. Oleh sebab itu, lakonan mereka sentiasa mendapat kritikan masyarakat antarabangsa. Sepintas lalu, jika difikirkan patut pun kritikan terhadap negara-negara Arab terus dilakukan kerana mereka terus menyimpan kepentingan diri yang tiada berkesudahan.
Selain itu, dua blok yang terbina di negara-negara Arab menyaksikan pertembungan dua fikrah iaitu fikrah Barat dan fikrah Islam. Pertembungan dua fikrah ini membentuk dua penjuru wilayah yang sering bergolak di tanah Arab. Dari hal ini, negara-negara Arab mudah tersinggung apabila dibangkitkan isu hubungan dengan AS dan Israel serta pertembungan mazhab.
Syria, Sudan, Libya, Iraq, Yaman, termasuk Palestin tidak terkecuali dalam mendepani isu ini. Malah lebih dari itu terdapat negara Arab seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang sekian lama berselindung dengan mendapat payungan ekonomi dan politik dari Amerika Syarikat seakan telah mendapat candu sehingga buat-buat tidak sedar dengan apa yang berlaku ke atas Palestin.
PBB berat sebelah
Apabila hospital, sekolah dan rumah-rumah kebajikan Palestin dibom Israel, tiba-tiba negara-negara Arab buat-buat terkejut dan mula menjadi hero. Arab Saudi tiba-tiba dalam satu kenyataannya bangkit mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara. Sungguh pun begitu, hakikatnya bagi Israel tiada apa-apa ketakutan kerana mereka tahu negara Arab tidak akan melakukan apa-apa pun.
Paling tidak boleh diterima akal walaupun pandangan dan keputusan negara Arab seperti tidak dihormati, mereka masih mengharapkan negara Barat untuk menghentikan segala kekejaman Israel, sedangkan AS tidak hiraukan sesiapa malah telah mengisytiharkan perang dengan membantu Israel.
Begitu juga Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang mengambil sikap tidak cenderung kepada Palestin, malah lebih bersimpati kepada kependudukan Yahudi.
Hal ini menunjukkan bahawa AS dan PBB sejak awal tidak berminat dengan Palestin.
Sungguh pun begitu, negara Arab masih tanpa segan silu mahukan genjatan senjata dan perdamaian dengan sokongan Barat. Sehingga sekarang mereka masih tidak menemukan kaedah sesuai melainkan hanya mengharapkan simpati Barat.
***Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi ialah Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV),Universiti Sains Malaysia (USM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!